PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) kekal komited dalam menjunjung mandat untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia.
Pengerusi PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB mampu mengagihkan pulangan kompetitif kepada pelabur walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Menurut beliau, PNB telah mengagihkan dividen sebanyak RM13.3 bilion tahun lalu.
Katanya, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan sejak PNB ditubuhkan sebanyak RM249.2 bilion.
“Selama 46 tahun, PNB dan syarikat pengurusan unit amanahnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah menjadi sebahagian penting ekonomi negara.
“Hampir 13 juta rakyat memberi kepercayaan kepada kami dengan simpanan dan harapan mereka. Kepercayaan ini amat kami hargai.
“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus mengekal dan meningkatkan pelaburan bagi meraih pulangan yang lebih baik dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
MSAM 2024 diadakan di Setia City Convention Centre, Setia Alam mulai hari ini hingga Ahad dengan tema Uplift your Life at MSAM atau Kukuhkan hidup anda di MSAM.
Pelbagai hadiah menarik bernilai kira-kira RM1 juta ditawarkan pada acara tersebut termasuk satu unit apartment servis di Serasi Residences, Putra Heights; BYD Dolphin Standard – Maldive Purple; Perodua Axia 1.0L AV – Coral Blue dan Perodua Ativa 1.0L Turbo AV – Pearl Delima Red.
Selain itu, MSAM 2024 turut menampilkan beberapa program menarik Festival Muzik Mini; Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto di samping belon udara panas.
Mengulas lanjut, Raja Arshad berkata, MSAM telah memanfaatkan lebih 4.3 juta rakyat Malaysia sejak mula diperkenalkan pada tahun 2000.
Pada tahun ini, beliau berkata, pelbagai program dan aktiviti interaktif disediakan dengan mengekalkan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam aktiviti berbentuk hibur didik.
Ujar beliau, PNB amat menekankan aspek pendidikan dengan sejumlah RM430.1 juta biasiswa telah dianugerahkan kepada 5,857 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sepanjang tahun lalu, PNB juga telah menyumbang RM6 juta dengan 95 peratus diperuntukkan untuk pembangunan komuniti dan selebihnya untuk pembangunan pendidikan.
“Antaranya, sumbangan bernilai RM5 juta kepada lebih 18,500 penerima dan 60 buah sekolah yang terjejas akibat banjir kilat pada November 2022 dan berterusan hingga Mac 2023,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

