ZOO Johor mencipta sejarah menerima kehadiran hampir 20,000 pengunjung pada hari pertama zoo tertua di Malaysia itu dibuka semula, semalam.
Ia selepas Zoo Johor sebelum ini ditutup selama tiga tahun akibat COVID-19 dan kerja-kerja naik taraf.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan, pengunjung mula beratur membeli tiket seawal pukul 6.30 pagi.
Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut menyediakan enam buah bas untuk ke zoo tersebut.
“Sejarah pengunjung tertinggi turut dicatatkan sejak Zoo Johor dibuka kepada orang awam pada tahun 1962 di mana kehadiran pengunjung seramai 19,461 orang dan 310 bukan warganegara, semalam.
“Potongan harga untuk tiket dewasa sebanyak 50 peratus dan tiket percuma bagi kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang diberikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pastinya memberi seribu makna dan kegembiraan buat Bangsa Johor.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan keselesaan dan keselamatan Bangsa Johor yang berkunjung ke zoo tertua di Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata, zoo berkenaan dibuka semula kepada umum secara rasmi mulai 31 Ogos atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baca artikel lain: Zoo Johor dibuka semula pada 31 Ogos ini
Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan binatang belaan Istana Johor kepada zoo tersebut.
Sempena pembukaan semula Zoo Johor, kerajaan negeri akan memberikan potongan 50 peratus bagi tiket dewasa dan percuma bagi kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) selama sebulan iaitu mulai 31 Ogos hingga 30 September 2024.
Harga tiket sebenar adalah RM10 bagi dewasa (warganegara), RM5 (pemegang MyKid lima – 12 tahun), RM5 (pemegang MyKad, 60 tahun ke atas dan percuma bagi OKU (pemenang MyKad).
Bagi pelancong asing pula, tiket adalah berharga RM30 bagi umur lima tahun ke atas dan percuma bagi bawah lima tahun.
Zoo Johor yang berkeluasan 4.73 hektar (11.70 ekar) dahulunya merupakan Kebun Binatang Almarhum Sultan Sir Ibrahim Almarhum Sultan Sir Abu Bakar yang direka untuk menempatkan koleksi haiwan peribadi baginda serta menjadi simbolik kepada benua atau negara yang pernah baginda kunjungi.
Pada 1 April 1962, Kebun Binatang itu telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk dibuka kepada umum.
Kini, zoo berkenaan tampil dengan wajah baharu dan koleksi 275 ekor haiwan daripada 53 spesis termasuk dalam kategori mamalia, primata, reptilia dan burung.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

