PERIKATAN Nasional (PN) sudah pun memuktamadkan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Memetik laporan Harian Metro Online, Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal memaklumkan, calon berkenaan akan diumumkan pada hari Selasa ini.
Menurut beliau, pengumuman calon itu sepatutnya diadakan esok namun ditunda ke hari Selasa bagi memberi laluan kepada sambutan hari ulang tahun penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Berhubung kriteria calon yang akan ditampilkan, Sahrudin dengan ringkas memberitahu, “calonnya lelaki dan orang tempatan”.
“Kriteria calon tunggulah nanti. Yang kita pilih adalah calon tempatan, Insha-Allah diterima pengundi di DUN Mahkota.
“Jadi, mengambil kira majlis terbabit, pucuk pimpinan mencadangkan nama calon diumumkan Selasa malam, Insya-Allah.
“Siapa yang akan mengumumkan calon juga akan ditetapkan pada hari sama, selepas kami mengadakan mesyuarat bersama Ahli Parlimen Bersatu di Kuala Lumpur,” katanya.
Baca artikel lain: PRK DUN Mahkota: Bapa calon BN ditidurkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota di Johor adalah pada 28 September depan.
Sebagai rekod, Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.
Pada PRN itu, Sharifah Azizah meraih 16,611 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Taqiuddin Che Man dari Amanah, Mohamad Nor Lingan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Parti Warisan, Mohamed Noor Suleiman.
Semalam, BN mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon mewakili parti tersebut.
Sebelum ini, Sahrudin dilaporkan berkata, tiga calon lelaki anak tempatan yang terdiri muka baharu dan lama itu diputuskan pada beberapa siri mesyuarat sebelum ini.
Selain Mohamad Nor, dua lagi nama yang disebut-sebut ialah Naib Ketua Bahagian, Dzulkarnain Alias dan Mohamad Haizan Jaafar, 58.
Mohamad Haizan yang dikenali sebagai Coach Haizan ialah jurulatih bola sepak terkenal dalam kalangan generasi muda di daerah ini dan beliau adalah ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

