PELAKON James Earl Jones meninggal dunia pada usia 93 tahun di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Isnin.
Bagaimanapun, punca kematian mendiang tidak didedahkan.
Jones yang popular meminjamkan suaranya bagi watak antigonis Darth Vader dalam siri filem Star Wars dilahirkan pada 17 Januari 1931.
Malah, mendiang turut pernah menyumbangkan suara menerusi animasi Disney iaitu The Lion King menerusi watak Raja Mufasa.
Berita kematian Jones mendapat liputan meluas rakan selebriti yang menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah atas pemergian mendiang.
Sepanjang enam dekad dalam dunia seni, Jones pernah bekerjasama dengan pelbagai pengarah ternama termasuklah Stanley Kubrick dalam filem satira Perang Dingin 1964, Dr Strangelove.
Beliau juga pernah memegang watak dalam filem Arnold Schwarzenegger Conan The Barbarian dan filem Field of Dreams bersama Kevin Costner pada 1989.
Jones pernah memenangi Anugerah Emmy dan Grammy serta Oscar kehormat dalam kategori pencapaian seumur hidup.
Pada 1971, Jones bergelar lelaki kulit hitam kedua yang dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi pencalonan Pelakon Terbaik selepas Sidney Poitier.
Untuk rekod, James meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Flynn Jones.
Mendiang isterinya iaitu pelakon Celia Hart meninggal dunia pada 1982 akibat kanser.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

