KERAJAAN menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan badan berkuasa persaingan di Turkiye, Turkish Competition Authority (TCA).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MoU itu merupakan yang pertama ditandatangai MyCC dengan agensi persaingan negara lain.
Jelas beliau, MoU itu adalah langkah strategik yang bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan.
“Fokus utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan, terutama dalam menangani kes-kes antipersaingan
yang dinamik, serta memperluas pertukaran maklumat dan kepakaran dalam pelbagai aspek undang-undang persaingan.
“MOU antara MyCC dan TCA ini adalah langkah penting untuk memperkasa peranan MyCC dalam membantu Kerajaan memerangi isu
kartel dan monopoli.
“Dengan adanya kerjasama ini, kita dapat memastikan pasaran yang lebih kompetitif, inovatif, dan memberikan
rakyat lebih banyak pilihan melalui persaingan yang sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Armizan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Turkiye, Prof Dr Omer Bolat.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa dan para pegawai kanan daripada KPDN dan MyCC.
Armizan berkata, sewaktu kunjungan hormat tersebut, mereka telah membincangkan pelbagai perkara yang melibatkan aspek tanggungjawab yang berkaitan di antara kedua-dua kementerian.
Antaranya, menurut beliau adalah seperti perdagangan dalam negeri, perlindungan pengguna, perundangan persaingan dan isu kos sara hidup.
“MyCC telah memainkan peranan penting dalam memastikan persaingan yang adil dan terbuka di Malaysia. Sejak penubuhannya, MyCC telah menyiasat lebih daripada 100 syarikat berkaitan pelbagai kes pelanggaran antipersaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah.
“KPDN komited untuk terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang dan melindungi kepentingan pengguna.
“Kementerian akan terus berusaha untuk mewujudkan pasaran yang adil dan terbuka, di mana persaingan yang sihat dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

