TPM, jemaah menteri ucap Selamat Hari Malaysia

Dari Penulis

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama barisan jemaah menteri, mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat melalui laman sosial masing-masing hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook, turut mengajak seluruh rakyat Malaysia terus menjaga hubungan baik antara kaum, memperkukuhkan perpaduan dan menanam semangat patriotik dalam jiwa generasi muda.

Beliau berkata, seluruh rakyat negara ini harus bersama-sama menghadapi segala cabaran dan memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan dihormati di persada dunia.

“Sejak 1963, kita membina negara yang berasaskan nilai toleransi, keharmonian dan kesepakatan. Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan perpaduan yang terjalin di antara rakyat Malaysia adalah asas kepada kemajuan yang kita kecapi hari ini.

“Kemerdekaan sejati bukan hanya mengenai kebebasan daripada penjajah, tetapi kebebasan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bersatu-padu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, jiwa merdeka melambangkan semangat rakyat Malaysia yang sentiasa bebas dalam minda dan hati untuk mengekalkan perpaduan serta kebersamaan, walaupun berbeza pandangan, warna kulit atau pegangan agama.

Baca artikel lain: PM ajak rakyat hayati erti penubuhan Malaysia yang bebas dan merdeka

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menggesa rakyat negara ini terus mengukuhkan perpaduan, kebersamaan dan patriotisme demi membina negara yang teguh, bersatu, makmur dan sejahtera.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan yang dibentuk atas nama Kerajaan Perpaduan adalah manifestasi pentingnya perpaduan dalam menoktahkan percakaran politik yang berterusan, supaya Malaysia dapat bergerak maju, memacu ekonomi, lebih makmur dan sejahtera.

“Tema sambutan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam mengintepretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi, seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

“Masyarakat berjiwa merdeka juga menekankan pentingnya adab, etika dan integriti dalam setiap aspek kehidupan, selamat menyambut Hari Malaysia 2024,” katanya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebooknya, berharap rakyat Malaysia terus bersama-sama membina negara yang stabil, aman, harmoni dan gah di persada dunia, demi generasi kini serta masa depan.

“Selamat Hari Malaysia,” katanya sambil mempelawa orang ramai menyaksikan sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata keharmonian, kesepakatan, kebersamaan dan kesepaduan menjadi kunci keberadaan Malaysia yang dibina melalui perancangan, pentadbiran dan pembangunan teliti.

“Didoakan semua ini kekal utuh dan diwariskan kepada anak cucu kita nanti. Masa depan mereka bermula dari masa kini. Semoga Malaysia terus maju, aman dan makmur berpanjangan,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana sentiasa menjadikan negara ini lebih baik dari semasa ke semasa.

Tidak ketinggalan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut menzahirkan ucapan selamat Hari Malaysia.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 1963 dan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Jika kita terus bersatu, keyakinan akan kembali memihak UMNO, BN’

AHLI, seluruh jentera dan saf kepimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) perlu terus bersatu padu, ikhlas berkhidmat dan tidak...

More Articles Like This