PERIKATAN Nasional (PN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam tempoh dua hari lagi.
Memetik laporan BH Online, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, manifesto parti itu bagi PRK DUN Mahkota kini berada di peringkat akhir.
Menurut beliau, PN sedang mengadakan perbincangan untuk melihat beberapa lagi isu yang boleh dibentangkan kepada pengundi DUN Mahkota sebelum manifesto itu diumumkan.
Katanya, sebahagian manifesto yang dirangka sudah pun disebut oleh calon dan kepimpinan PN sebelum ini.
“Seperti diketahui, DUN Mahkota satu kerusi kecil di Johor, namun suara kita untuk DUN ini penting di DUN Johor kelak.
“Jadi, kita nak melihat beberapa isu besar yang boleh diangkat wakil kita di DUN Johor sekiranya dia (Mohamad Haizan Jaafar) dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin turut menafikan kononnya wujud tindakan memboikot kempen calon PN itu daripada parti komponen gabungan tersebut iaitu Pas.
Baca artikel lain: PRK Mahkota: Syed Hussien enggan selesa, tak pandang rendah lawan
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu berkata, jentera Pas telah lama berada di DUN Mahkota sebaik sahaja selesai muktamad di Pahang beberapa hari lalu.
“Saya dah jawab sebelum ini yang mana pada Sabtu, Pas ada Muktamar di Pahang. Tarikh (muktamar) sudah ditetapkan lebih awal daripada PRK ini, kita hormati.
“Tetapi Pas pusat mengambil keputusan cukup positif menghantar Datuk Nik Mohd Amar (Abdullah) sebagai wakil, malah Datuk Seri Takiyuddin (Hassan) memberitahu saya, (beliau) mengarahkan semua pimpinan Pas Johor tidak perlu hadir ke muktamar.
“Bermula Pesuruhjaya Pas, Pemuda, Muslimat dan mereka semua berada di sini (Mahkota) sejak hari pertama, jadi tidak timbul soal boikot.
“Namun selepas selesai muktamar, mereka kembali bertugas di DUN Mahkota dan semalam sahaja hampir 100 petugas Muslimat PAS tiba untuk membantu kerja culaan,” katanya.
PRK DUN Mahkota pada 28 September ini akan menyaksikan pertembungan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

