TARIKH 15 Mac 2023, impian Mudir Madrasah Tahfizul Quran Annur, di Kampung Jermin, Tboung Khmum, Kemboja Ustaz Arafath Yusuf untuk melihat pembinaan projek Masjid Istiqomah di situ menjadi kenyataan apabila projek itu mula dilaksanakan.
Projek yang menelan belanja RM2.5 juta itu dan mendapat sokongan Mufti Kemboja, Dato’ Okhnan Kamry serta kerjasama padu daripada Kerajaan Kemboja khususnya Gabenor Wilayah Tboung Khmum dan Pertubuhan Istiqomah AlHijrah Kota Warisan, Sepang, Selangor dijangka siap penghujung tahun ini.
Pembinaan masjid di atas tanah seluas 2,627 meter persegi itu amat penting dalam usaha memastikan masyarakat Islam Kemboja khususnya di Tboung Khmum melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan.
‘’Saya mahu melihat Masjid Istiqomah ini bukan sekadar masjid untuk digunakan bagi tujuan solat sahaja tetapi juga bagi melaksanakan aktiviti lain oleh umat Islam termasuklah dari segi ekonomi,’’ kata Ustaz Arafath dalam pertemuan dengan penulis di Tbong Khmum, Kemboja baru-baru ini.

Hasil usaha dilakukan oleh Ustaz Arafath dengan kerjasama Pertubuhan Istiqomah AlHijrah Kota Warisan, Sepang itu, pembinaan masjid tersebut yang akan menjadi salah sebuah masjid terbesar di Kemboja sedang giat dijalankan.
Bagaimanapun apa yang meresahkan Ustaz Afarath, mereka berhadapan dengan kekurangan dana sebanyak RM250,000 bagi memastikan masjid itu dapat disiapkan sepenuhnya.
‘’Boleh dikatakan pembinaan masjid ini sedang di fasa akhir untuk disiapkan tetapi kekurangan dana bagi menjejaskan proses tersebut. Atas sebab itulah, saya memohon umat Islam Malaysia untuk membantu mencukupkan dana yang diperlukan,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, sememangnya umat Islam Malaysia adalah kelompok penyumbang terbesar namun dana masih belum mencukupi.
‘’Pembinaan masjid ini yang boleh menampung 1,000 jemaah amat penting kepada saya kerana ia juga akan menjadi tempat untuk pelajar Madrasah Tahfizul Quran Annur yang terletak bersebelahan masjid menjalankan proses pembelajaran di situ,’’ katanya.
Ustaz Arafath yang pernah mendapat Pendidikan agama selama 10 tahun di Malaysia berkata, beliau begitu mengharapkan Masjid Istiqomah tersebut disiapkan pada tempoh yang ditetapkan.
‘’Saya berharap umat Islam Malaysia akan membantu memastikan kekurangan dana RM250,000 yang dihadapi sekarang dapat diatasi,’’ katanya.
 Beliau berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 000100200004009 atas nama Madrasah Tahfizul Quran Annur School Cambodia atau akaun Maybank 568603036185 atas nama Pertubuhan Istiqomah AlHijrah Kota Warisan, Sepang.
Mereka juga boleh mendapat maklumat lanjut daripada Ustaz Arafath di talian +855972255178 atau Pengerusi Pertubuhan Istiqomah AlHijrah Kota Warisan, Sepang iaitu Haji Hasbullah di talian 0199557333, Haji Wan Nawi (Timbalan Pengerusi) di talian 0133699151, Haji Roslan 0192658839 (Setiausaha) atau Haji Abu Bakar 0166607204 (Bendahari).

