Pengikut GISBH cecah 10,000 orang termasuk luar negara – KPN

Dari Penulis

JUMLAH pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dianggarkan mencecah 10,000 orang meliputi individu di dalam dan luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, bagaimanapun pihaknya belum dapat mengesahkan angka sebenar jumlah pengikut kumpulan berkenaan dan perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita menganggarkan lebih kurang dalam 10,000 (orang), termasuk kanak-kanak.
Namun, kita perlu sahkan daripada siasatan kita nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, pemimpin dan pengikut GISBH dipercayai masih mengamalkan serta berpegang kepada ajaran Aurad Muhammadiah yang pernah diamalkan oleh kumpulan Al-Arqam sebelum difatwakan sesat pada 1994.

Razarudin berkata, ia berdasarkan penemuan buku-buku dan risalah berkaitan Aurad Muhammadiah dalam serbuan ke atas premis GISBH melalui Op Global Fasa 4 pada 20 September lalu.

“Kita percaya, daripada risikan dan keterangan yang kita dapat, bahawa GISBH masih mengamalkan tarekat ini (Aurad Muhammadiah) kerana ada buku Abuya dan zikirnya.

“Terdapat barangan disyaki bertentangan Islam dan berkaitan Aurad Muhammadiah di mana tarekat ini dimulakan Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut berkaitan perkara ini kerana ia bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI),” ujarnya.

Jelasnya, siasatan terhadap kes berkait GISB ini akan diteruskan secara berfasa dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk berkemungkinan membabitkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Tegasnya, kes ini dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan tindakan ke atas GISBH dijalankan dengan telus dan menyeluruh.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This