INI adalah rencana saya yang keempat, sebagai respons kepada konflik yang dicetuskan berkaitan dengan skim pensijilan halal.
Ia turut diolah susulan penolakan oleh Kabinet terhadap cadangan pensijilan halal mandatori oleh JAKIM.
Terlanjur begitu jadinya, elok sangatlah kesempatan diambil oleh JAKIM untuk skim berkenaan diperbaharui bagi diperkasakan sepenuhnya. Langkah selanjutnya ialah mengangkat dan mempersembahkan cadangan baharu itu kepada institusi yang diamanahkan sebagai ‘penjaga’ kepada hal ehwal Islam, iaitu Majlis Raja-Raja, bukan Kabinet.
Dalam konteks pembaharuannya, persoalan berikut hendaklah benar-benar difahami.
Pertama, adakah skim pensijilan halal ini sekadar untuk memastikan produk yang dilabelkan sebagai halal itu benar-benar halal dan suci mengikut hukum syarak?
Atau, adakah ia satu skim pensijilan bagi melindungi kepentingan pengguna Islam, agar sesiapa saja yang hendak menawarkan produk atau perkhidmatan kepada pengguna Islam, wajib terlebih dahulu memperolehi kebenaran dari pihak berkuasa.
Kebenaran itu ialah menerusi pemilikan pensijilan halal yang sah. Pemohon yang dimaksudkan, sama ada dalam kalangan pengguna Islam atau bukan Islam, wajib mematuhi sistem, proses dan syarat-syarat yang ditetapkan, yang diikat bersamanya, kesediaan pemohon berkenaan melantik pengurus ekonomi Islam bertauliah, bagi mengurus bisnes berkaitan.
Ikatan ini adalah sebahagian daripada piagam pemohon itu bagi memastikan dan memperakukan tiada sebarang salah guna berlaku dalam penghasilan produk atau penawaran perkhidmatan yang dijanjikan itu.
Kedua, adakah sijil ini satu proses penjenamaan yang ada nilai ekonomi premium? Jika itu maksudnya, pengusaha berkenaan berhak membawa masuk produknya atau perkhidmatannya yang berstatus halal itu, menembusi atau memasuki pasaran pengguna Islam, yang berlipat kali ganda besarnya.
Atau, adakah skim ini juga mengambil kira wujudnya beberapa kategori pengusaha, dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam? Selain tuntutan syarak dan kepentingan ekonomi, adakah skim ini mengambilkira peranannya dalam membina keharmonian masyarakat majmuk di negara ini?
Untuk persoalan pertama, saya sudah baca dan memahami Misi, Visi, Matlamat, Fungsi dan Piagam Pelanggan, Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM. Ia bagus. Pun begitu, izinkan saya memberi pandangan untuk memperkemaskan lagi Misi et al itu. Hendaknya ia diterima dan bermanfaat.
Untuk persoalan kedua, dua agensi Kerajaan Persekutuan ini, JAKIM dan Halal Development Corporation (HDC), telah diamanahkan untuk berganding bahu, bertanggungjawab memajukan ekonomi halal sebagai ekonomi penting, berstatus Ekonomi HGHV, bagi didominasi dan dimanfaatkan oleh Komuniti Ekonomi Islam (KEI).
Berbalik kepada persoalan pertama, saya beranggapan, ia adalah skim pensijilan yang mengutamakan, menjaga dan melindungi kepentingan pengguna Islam (Consumer-centric scheme).
Sijil itu hanyalah satu instrumen, yang secara simboliknya, memberikan pengguna Islam, satu jaminan, bahawasanya, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, adalah halal dan suci, mengikut hukum syarak.
Jika ini keutamaannya, sudah pasti JAKIM mengutamakan usaha pembinaan budaya dan ekosistem sempurna mengenai kepenggunaan dalam kalangan pengguna Islam. Ekosistem ini diperlengkapkan dengan pembangunan platform yang canggih bagi mengupaya dan memudahcara pengguna Islam mendapat atau mengakses apa juga maklumat mengenai pensijilan halal ini dengan mudah, tepat dan pantas.
Oleh kerana skim itu sekadar skim pensijilan produk (product-centric certification), apa jua perkhidmatan yang kini ditawarkan oleh JAKIM, sudah lebih daripada memadai.
Baca artikel lain: Pensijilan halal: hak dan opsyen pemilikannya
Kedua, oleh kerana begitu sifatnya Misi et al JAKIM itu, iaitu yang sekadar utamakan produk, makanya piagamnya juga sekadar memberikan akujanji kepada pengusaha yang memohon persijilan itu, tidak kepada pelanggan yang sepatutnya menjadi keutamaan JAKIM.
Maknanya, sijil halal itu ibarat pasport, bagi membenarkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesiapa saja pengusaha, untuk menembusi pasaran pengguna Islam.
Oleh kerana terdapat perbezaan atau jurang mengenai pengertian dan keutamaan itu, saya lontarkan pandangan ini dari dua perspektif berlainan; saya sebagai pengguna Islam dan saya sebagai pengusaha Islam. Saya turut lontarkan harapan (expectation) kepada HDC, iaitu sebuah agensi berstatuskan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan), atau dikenali juga sebagai SOE (State-Owned Enterprise).
Sebagai pengguna Islam, saya ada hak menuntut JAKIM untuk membangunkan applikasi, termasuk aplikasi mobile, yang boleh diakses secara dalam talian, pada bila-bila masa, bagi memperolehi maklumat yang tepat, pantas sekelip mata, betul dan bersifat analitikal, yang membolehkan pengguna Islam mengetahui status halal sesebuah perniagaan, sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Sebagai contoh, katakan saya hendak berkunjung ke Bandar Baru Bangi dan mencari restoran makanan halal. Pertama, saya akan akses kepada aplikasi yang terdapat dalam telefon bimbit saya, untuk menilai pelbagai restoran yang tersenarai dalam aplikasi itu.
Atau, saya ternampak sebuah restoran yang ada tanda halal di pintu masuknya. Saya ingin sahkan status halalnya. Turut dipaparkan dalam aplikasi itu ialah pelbagai maklumat berkaitan atau yang diperlukan.
Dengan adanya pelbagai teknologi digital dan AI yang terkini, aplikasi yang dibangunkan oleh JAKIM ini wajar diperkukuhkan dengan teknologi-teknologi itu. Ini sekali gus menjadikan aplikasi tersebut teramat berguna kepada kami semua sebagai pengguna. Barulah tepat penjenamaan JAKIM sebagai institusi kemajuan Islam.
Maknanya, dengan skim pensijilan halal yang mengutamakan kepentingan pengguna dan ada aplikasi digital yang kontemporari, hak dan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi, dijamin dan menjadi keutamaan JAKIM. Inilah yang kita semua nanti-nantikan sekian lama.
Sebagai pengusaha Islam pula, pengharapan saya ialah yang saya ini ada hak mendapatkan sijil halal. Sebagai pengusaha, saya juga memerlukan aplikasi mobile yang boleh diakses pada bila-bila masa untuk mendapatkan pelbagai data dan maklumat, misalnya mengenai bekalan bahan mentah halal dari pengeluar atau pembekal yang memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM.
Maknanya, keperluan dan kepentingan saya sebagai pengusaha Islam juga diupayakan atau dimudahcarakan oleh JAKIM. Hatta, skop Piagam Pelanggan yang dibina itu hendaklah diperluaskan dan dijadikan satu piagam yang inklusif dan dinamik. Sebagai pengusaha Islam, saya juga ada hak menuntut Kerajaan, menerusi HDC, menggalas amanah dan tanggungjawab memajukan ekonomi halal.
Pernah suatu ketika dahulu, sekitar tahun 2017, kami di MPM telah disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, terlibat secara langsung memajukan ekonomi halal ini. Saranan itu beliau ajukan sempena mandat baharu yang beliau terima daripada Kerajaan, untuk mentransformasikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Halal, kepada Majlis Ekonomi Halal Negara. Malangnya apabila kerajaan silih berganti, pembabitan kami dalam agenda negara ini tercicir.
Apa pun, pada hemat kami di MPM, inisiatif itu cukup bagus. Kami agak terkilan mengapa HDC, dengan adanya pelbagai fasiliti, termasuk acara tahunan yang cukup berprestij, yang dikendalikannya, iaitu MIHAS, isu penguasaan KEI dalam ekonomi halal ini masih terlalu kekal kecil dan tidak signifikan langsung.
Pernah kami syorkan agar dilahirkan beberapa entiti korporat ulung untuk menjuarai penguasaan KEI dalam ekonomi halal ini. Menerusi entiti ini direncanakan beberapa program, termasuk Program Pembangunan Vendor (Vendor Development Program).
Entiti korporat ulung ini berperanan mengurus keseluruhan rantaian nilai ekonomi halal ini dalam bidang-bidang yang strategik. Vendor adalah terdiri daripada PKS dalam kalangan KEI dibsepanjang rantaian nilai itu.
Sayugia diketahui, majoriti daripada PKS dalam kalangan KEI ini (sekitar 90 peratus) adalah entiti bisnes yang berskala kecil dan mikro, yang tanpa entiti korporat ulung sebagai tonggak, tidak akan menjamah untuk membawa produk atau perkhidmatan mereka menembusi pasaran pengguna Islam terutama ke luar negara.
Hendaknya, di samping penganjuran MIHAS yang saban tahun model pamerannya agak stereotaip, mulai tahun depan, HDC menyasar dan menyelitkan, agar setiap tahun ia bergandingan atau memperkenalkan setidak-tidaknya satu entiti korporat ulung sebagai juara.
Dalam kalangan SOE ada begitu banyak institusi ekonomi Islam, seperti TH, YaPEIM, Perbadanan Ekonomi Islam Negeri, malah puluhan GLC, GLIC dan MKD, untuk diangkat berperanan sebagai entiti korporat ulung, menerajui dan menjuarai sesuatu bidang ekonomi halal berstatus HGHV.
Halangannya bukanlah berkaitan dana atau kepakaran, tetapi lebih kepada kesungguhan untuk mengqalas amanah dan tanggungjawab masing-masing.
Seperti mana JAKIM, HDC hendaklah juga mempersembahkan cadangan berkaitan dengan ilham di atas itu kepada Majlis Raja-Raja, untuk mendapatkan perkenan dan restu Baginda sekelian.
Jika bukan sekarang, bila lagi?
Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram