CHEF selebriti, Anis Nabilah menyarankan agar rakyat Malaysia berhenti ‘menyerang’ media sosial peserta Masterchef Indonesia iaitu Stefani Harison susulan kenyataannya yang menyelar menu nasi kandar rasa ‘berpasir’.
Anis,37, menyifatkan individu terbabit tidak layak untuk diberikan perhatian justeru menggesa semua pihak tidak lagi bercakap tentang perkara itu.
“Keluarga ibu saya berasal dari Pulau Pinang. Jadi, saya memang dibesarkan dengan makan nasi kandar. Saya nampak ramai yang marah bila berita tersebut tersebar. Saya juga terkejut.
“Pada saya, ia tidak sopan. Namun, lebih baik kita tidak berikan perhatian. Bila ramai yang kongsi dan berikan komen, lebih banyak kuasa yang kita berikan kepada individu tersebut,” katanya kepada URTV.
Anis mengulas perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran cawagan terbaharu, Illy Caffe di Nu Central, Kuala Lumpur, semalam.

Menganggap kenyataan yang keluar daripada chef tersebut sebagai biadap dan tidak menghormati makanan tradisi negara lain selepas mendakwa bahan yang digunakan dalam nasi kandar tidak asli.
“Beliau adalah salah seorang peserta Masterchef dan tidak dinafikan dia pandai memasak. Pada saya, rasa ini sangat subjektif. Saya sudah pergi serata dunia dan mencuba pelbagai jenis makanan termasuk menu-menu pelik yang halal.
“Sekali pun saya tak pernah mengkeji makanan yang di cuba sama ada di hadapan atau belakang orang. Apatah lagi ketika ingin memberikan komen di televisyen atau media sosial.
“Kita kena hormat terutama sekali makanan tradisional negara lain. Sebagai manusia yang ada adab, kita tidak akan berkata buruk tentang tradisi orang lain.
“Mungkin dia kurang adab. Jadi, tak perlulah kita beri perhatian,” tegasnya lagi.

Sebagai individu yang memiliki kepakaran dalam bidang yang diceburi, seharusnya wanita itu perlu mencontohi chef-chef terkenal dunia yang tidak pernah mengeluarkan perkatan jelik terhadap makanan tradisi di sesebuah negara.
“Saya tak tahu kenapa dia buat kenyataan tersebut. Sebagai seorang profesional, kita tidak akan keluarkan kenyataan seperti itu.
“Malah, chef terhebat dunia pun tidak akan bercakap sebegitu. Kalau tak sedap, mereka akan kata makanan tersebut mungkin tidak sesuai dengan tekak.
“Mungkin pemilihan kata-katanya agak teruk atau mungkin dia tidak profesional,” katanya.
Terdahulu, Illi Cafee turut melancarkan menu terbaharu yang diberi nama ‘Maritozzi Collection’.
Terdapat enam jenis pilihan maritozzi savoury iaitu Mushroom Pesto, Smoked Salmon with Mascarpone, Beef Bresaola & Homemade Habanero Jam, Truffled Scrambled Egg dan Chicken Sausage, Spicy Tuna Mayonnaise dan Prawn Paprika.
Manakala untuk pilihan maritozzi manis pula, Illy cafee memperkenalkan perisa Classic Maritozzo, Pistachio dan Salted Caramel Maritozzo, Raspberry Maritozzo dan Tiramisu Maritozzo.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

