PENYANYI Adira menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bekas suaminya iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red tinggal serumah.
Tuduhan itu timbul apabila Adira atau Siti Adira Suhaimi,32, dilihat sering muncul bersama dalam siaran langsung TikTok.
Enggan membiarkan fitnah berpanjangan, Adira tampil menyangkal semua gosip berkenaan sebaliknya mengakui Datuk Red kerap datang ke rumahnya ketika ramai ahli keluarganya ada bersama.
“Status saya masih lagi ibu tunggal dan kami tidak duduk serumah. Kalau kami live bersama pun, mesti akan ada orang lain juga.
“Dalam rumah saya ada 16 orang termasuk anak saudara, pembantu rumah, abang, kakak ipar, anak-anak dan kakak.
“Kadang-kadang dia datang rumah tengok anak-anak. Ada masa, kami live bersama. Tapi dalam rumah tu memang sangat ramai orang Jangan risau…selamat,” katanya kepada URTVk etika ditemui di sidang media konsert A Night With Sumandak Stars di ibu negara.

Tambah Adira, niatnya hanya ingin membantu Datuk Red berjualan dalam plarform terbabit.
Pada masa sama, penyanyi lagu Ombak Rindu itu sedar netizen akan menjadikan isu itu sebagai topik utama, justeru dia berharap kenyataanya itu akan memuaskan hati semua pihak.
“Saya faham orang luar melihat macam mana. Dan kadang-kadang saya bantu dia berjualan dari stor yang disewa oleh Datuk Red.
“Kadang-kadang orang ingat kami live dari rumah tapi tu sebenarnya di stor, tempat barangan jualan.
“Anda semua kena tengok live kami dari awal sampai hujung sebenarnya…barulah boleh bercakap dan faham.
“Sejujurnya, saya jarang live bersama dia sebab saya pun sangat sibuk dengan kerja lain. Pada masa sama, saya juga tak naklah kerap live bersama sebab nak elak mulut orang bercakap perkara yang tidak baik,”ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Adira akui tidak sabar untuk menghiburkan peminat di konsert yang menghimpunkan enam penyanyi kelahiran Sabah di Zepp Kuala Lumpur, 30 November depan.
“Saya dapat tawaran konsert ini kira-kira tiga minggu lalu. Saya pun tak ambil masa lama untuk menyatakan persetujuan sebab saya sangat teruja nak satu pentas dengan penyanyi wanita asal Sabah.
“Kebetulan juga tarikh tersebut saya agak ‘free’. Jadinya, inilah peluang untuk saya dan yang lain beraksi di pentas sama.
“Kalau kita lihat, sangat jarang nak dapat peluang untuk sama pentas dengan penyanyi kelahiran Sabah. Insya-Allah, kami janjikan kepuasan untuk penonton,” katanya.
Selain Adira, penyanyi wanita Sabah yang akan turut serta dalam konsert ini ialah Bella Astillah, Nikki Palikat, Didi Astillah, Wani Kayrie, Marsha Milan dan Stacy.
Tiket konsert sudah boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

