PENYANYI Datin Alyah akui permata hatinya iaitu Nur Izzara sangat rapat dengan suaminya yang juga maestro muzik popular, Datuk Ramli MS.
Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan,43, berkata, biarpun orang luar melihat personaliti Ramli atau mesra disapa sebagai Tok Ram itu nampak tegas dan serius sebaliknya sebenarnya dia seorang yang penyayang.
“Sejak kehadiran Izzara, saya boleh nampak sisi berbeza Tok Ram. Setiap malam nak tidur, Izzara akan tidur dengan ayah (Tok Ram) dia. Tidur malam pun dengan dia.
“Bila ayah dia kena pergi kerja luar kawasan selama 20 hari untuk penggambaran Projek Bapak-Bapak di luar negara, Izzara akan mula meragam sebab terlalu rindukan ayah dia.
“Nak senyapkan dia, pembantu rumah saya suruh bagi baju ayah dia, barulah Izzara boleh tidur dengan tenang…tak menangis lagi,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada acara Twomee Road Tour Makeup Class di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Dalam majlis tersebut, seramai hampir 100 orang hadir bagi mengikuti bengkel solekan yang dikendalikan bersama jurumekap profesional.
Alyah turut menghiburkan semua peserta yang hadir dari pagi hingga ke petang program terbabit berlangsung.
Tambah Alyah, dia sentiasa memegang kata-kata ibunya yang memesan untuk sentiasa meluangkan masa dengan Izzara agar tidak terlepas momen tumbesarannya.
“Dekat rumah ada sebuah bilik yang dikhaskan untuk Tok Ram buat kerja. Kalau dulu dia akan sepanjang hari akan duduk dalam bilik tu buat kerja.
“Tapi sekarang ni nampak Tok Ram lebih banyak keluar dan masuk bilik disebabkan nak tengok Izzara.
“Kehidupan kami memang berubah 360 darjah sejak adanya Izzara dalam hidup kami. Waktu tidur saya memang tak menentu tapi itulah yang pada saya hadiah yang tidak ternilai,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Alyah juga sama seperti ibu di luar sana yang akan menguruskan zuriat dengan tangan sendiri biarpun diberi rezeki memiliki dua orang pembantu rumah.
Malah, setiap kali jika dia perlu membuat persembahan di mana-mana lokasi, dia akan memastikan untuk membawa si kecil bersama.
“Mencabar juga bila bergelar seorang ibu yang bekerjaya. Saya seorang yang sukar nak tinggalkan anak seorang diri diuruskan pembantu rumah.
“Sebab itulah, jika ada tawaran persembahan, saya akan minta pengurus bertanya kepada pihak penganjur jika boleh bawa anak.
“Saya kalau boleh tak mahu menyusahkan penganjur dengan membawa anak ke tempat kerja dan tak mahu mereka rasa tak selesa sebab itu apa-apa pun saya akan bertanya dulu sebelum terima tawaran,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

