Alyah, Dr Afif nasihatkan fahami tujuan bariatrik – “Jangan menipu demi produk”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

DALAM era media sosial yang sarat dengan promosi produk pelangsingan, penyanyi terkenal Datin Alyah tampil mengingatkan agar masyarakat lebih jujur dan bertanggungjawab dalam berbicara soal kesihatan terutama berkaitan pembedahan bariatrik atau prosedur “potong perut”.

Menurut Alyah, yang sendiri menjalani pembedahan bariatrik tiga tahun lalu, tindakan segelintir pihak yang menyembunyikan fakta sebenar semata-mata untuk melariskan produk pelangsingan adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Kalau buat bariatrik, jangan tipu. Cakap saja. 

“Ada yang kurus sebab jalani bariatrik, tapi dakwa kononnya dia diet atau makan suplemen. Tak elok menipu begitu,” tegas isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS itu.

Alyah menjelaskan, keputusan menjalani pembedahan bariatrik bukan kerana faktor kosmetik semata-mata, sebaliknya demi kesihatan. 

Prosedur tersebut dilakukan bagi merawat masalah gastrik kronik yang dihadapinya sehingga menyebabkan peningkatan berat badan sebanyak 18 kilogram.

“Pembedahan itu bukan saja membantu atasi gastrik, tapi juga mengurangkan risiko penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

“Sebelum buat, kena dapatkan pandangan dua atau tiga doktor sebab setiap pakar mungkin beri nasihat berbeza. 

“Baru boleh tentukan apa yang terbaik untuk diri sendiri,” jelasnya.

Alyah turut mengingatkan keberkesanan bariatrik berbeza bagi setiap individu.

“Ada yang patuh semua arahan doktor, tapi tetap alami komplikasi. 

“Ada juga yang okey. Semuanya bergantung pada nasib dan disiplin,” ujarnya.

Pandangan sama dikongsi oleh Dr Afif Mohd Ridzwan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, yang menegaskan pembedahan bariatrik perlu dilakukan atas sebab kesihatan, bukan komersial.

“Saya tak setuju bila ada yang buat bariatrik semata-mata nak kurus supaya boleh jual produk pelangsingan. Itu menipu dan tak beretika.

“Kalau nak buat untuk kesihatan, itu bagus. Tapi jangan tipu orang lain dengan mendakwa kurus sebab makan suplemen, sedangkan sebenarnya hasil pembedahan,” katanya.

Menurut Dr Afif, prosedur bariatrik sesuai untuk mereka yang mempunyai BMI 40 ke atas, atau BMI 35 hingga 40 dengan masalah kesihatan kronik seperti diabetes, hipertensi atau gangguan tidur (OSA).

“Bagi yang BMI bawah 35 tapi tak boleh kawal nafsu makan dan betul-betul perlukan bantuan klinikal, mereka juga boleh dipertimbangkan dengan syarat mendapat penilaian pasukan bedah bariatrik,” ulasnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, bariatrik tidak sesuai untuk individu yang mempunyai masalah mental, ketagihan alkohol, penyakit kritikal atau terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Kalau tahu diri tak mampu ikut nasihat doktor selepas pembedahan, lebih baik lupakan niat itu,” tambahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Reda rumah tangga runtuh lagi, Kaka Azraff pilih fokus besarkan 3 anak selepas sah bercerai talak dua

SELEPAS pelbagai usaha dilakukan demi mempertahankan mahligai cinta yang dibina, penyanyi, Kaka Azraff akhirnya akur apabila jodohnya bersama suami,...

More Articles Like This