ISU melibatkan jenayah dalam talian dilihat semakin lama semakin membimbangkan apatah lagi ia melibatkan keselamatan rakyat terutama kanak-kanak dan keluarga di platform media sosial.
Soal pedofilia, pornografi dan aktiviti penipuan yang seolah-olah ‘dibiarkan’ bermaharajalela dalam media sosial sedikit sebanyak ‘mencabar’ etika dan budaya ketimuran di negara ini.
Jika menunggu lebih lama, ia ibarat ‘bom jangka’ yang bukan sahaja meruntuhkan nilai sosial masyarakat, bahkan mengundang kepada peningkatan kadar jenayah.
Sebelum ke tahap itu, usaha mengawal selia perlu dilakukan dengan kadar segera.
Oleh itu, apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh memberikan lebih masa untuk pelesenan media sosial dalam usaha menangani jenayah di platform berkenaan, langkah tersebut wajar dipuji.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata isu keselamatan rakyat, terutama kanak kanak dan keluarga di media sosial yang semakin berleluasa tidak boleh dikompromi.
Adakah platform media sosial benar-benar serius untuk menangani ancaman sedemikian?
Pakar Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nur Izura Udzir menegaskan, platform media sosial perlu lebih bertanggungjawab ke atas setiap kandungan yang dipaparkan dalam ‘produk’ mereka.
Beliau berkata, pengendali platform media sosial tidak boleh lepas tangan dengan perkara sedemikian atas alasan telah menyediakan garis panduan kepada pengguna.
“Garis panduan itu mungkin ada tetapi sejauh mana mereka menguatkuasakannya? Sebagai contoh jika mereka meletakkan panduan hanya remaja melebihi usia 13 tahun dibenarkan mendaftar, sejauh mana mereka sedar tentang perkara itu?
“Sejauh mana tindakan diambil untuk menurunkan kandungan atau mengharamkan terus sesuatu kandungan dalam platform mereka.
“Sebagai contoh, jika ada satu syarikat membuka taman tema dan ada kejadian tidak diingini berlaku, mereka perlu bertanggungjawab atas kes tersebut. Sama juga seperti platform media sosial,” katanya kepada UtusanTV baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nur Izura memaklumkan, tindakan kerajaan untuk melesenkan platform media sosial satu langkah tepat bagi memastikan terdapat kawal selia terhadap platform terbabit.
Baca artikel lain: Langkah perundangan tangani sindiket scammer tumpuan Parlimen hari ini
Beliau turut bersetuju sekiranya kerajaan mengetatkan undang-undang atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi memastikan perkara tersebut dapat ditangani sebaik mungkin.
Sebelum ini, Fahmi menegur Meta kerana masih gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), khususnya di platform Facebook.
Teguran itu dilakukan dalam pertemuan dengan Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Rafael Frankel bersama-sama dengan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Fauzi Md Isa pada 30 Oktober lalu.
Beliau turut mengulangi bahawa kerajaan tidak boleh memberikan lebih masa untuk pelesenan media sosial dalam usaha menangani jenayah di platform berkenaan termasuk pedofilia dan aktiviti penipuan.
Pada Ogos lalu, Fahmi memaklumkan berdasarkan garis panduan yang diwujudkan bersama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Januari 2025 boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 126 akta tersebut.
Beliau berkata kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform dan bukannya kepada pengguna atau pempengaruh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

