KERAJAAN melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memantau keberadaan dan keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang sedang menjalani misi pengaman di selatan Lubnan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan sentiasa berhubung dengan petugas di Lubnan hampir setiap hari tentang keadaan pasukan MALBATT.
Pada masa sama, kata beliau, pasukan MALBATT akan terus berada di sana kerana negara terikat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Setakat ini, Duta Besar (Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob) masih di Beirut bagi memantau keadaan.
“Ada giliran penukaran pasukan sedia ada kepada pasukan baharu kerana mereka sudah tamat tempoh. Mereka dijangka tiba di tanah air sekitar 6 hingga 19 November ini dan kemudian penggantian kumpulan lain.
“(Sudah) tentu ada yang menggesa supaya kita menarik pulang (pasukan MALBATT) tetapi pendirian kita adalah pendirian bersama UNIFIL dan kita buat keputusan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai pasukan pengaman pada sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini.
Baca artikel lain: Atur gerak penggiliran pasukan baru MALBATT 850-12 bermula 6 November
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia bersama 33 buah negara penyumbang anggota UNIFIL yang lain telah membuat kenyataan diketuai Poland bagi mengutuk tindakan serangan dilakukan Israel di Lubnan.
“Negara kuasa besar pun dalam sejarah mutakhir tidak segila, sekejam dan sezalim Israel seperti berlaku sekarang.
“Jarang dalam sejarah, kita lihat umpamanya sanggup mengetepikan semua peraturan dunia, semua hukum dan undang-undang sehingga melibatkan risiko ke atas petugas-petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.
“Atas inisiatif Poland, kita menyokong dan mengeluarkan kenyataan bersama oleh 33 buah negara yang mengutuk serangan itu tetapi sementara itu kita tetap mempertahankan keperluan mengekalkan UNIFIL untuk keselamatan rantau yang bertelagah selama ini,” katanya.
Sebelum ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor memaklumkan, penghantaran dan penugasan Pasukan MALBATT di selatan Lubnan akan diteruskan dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 November hingga 18 November ini.
Keputusan tersebut dibuat setelah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama menerima makluman mengenai ketetapan Force Commander UNIFIL mengenai tarikh pertukaran untuk semua pasukan termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

