PROSES merakam keterangan pengasas syarikat Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor akan bersambung esok.
Menurut laporan BH Online yang memetik sumber, proses mengambil keterangan yang bermula sejak pagi tadi itu masih berjalan setakat pukul 8 malam tadi.
Sumber tersebut memberitahu, rakaman percakapan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Difahamkan, proses mengambil keterangan Vivy dan suami itu dijangka selesai pada pukul 10 malam ini.
“Esok akan sambung ambil keterangan jam 10 pagi,” kata sumber itu.
Terdahulu, media melaporkan Vivy dan suaminya telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 2.30 petang tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, mereka dirakam percakapan untuk membantu siasatan berhubung kerugian besar pelaburan Fashion Valet membabitkan dana awam.
Ia susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam Fashion Valet berjumlah RMRM43.9 juta.
Baca artikel lain: SPRM ambil keterangan Vivy Yusof, suami
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.
Dalam hantaran di platform X, Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata, arahan tegas itu sebagai memaknai pengumumannya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, minggu lalu, Kementerian Kewangan, memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Khazanah dan PNB mengeluarkan kenyataan berasingan mengenai kerugian yang dialami kedua-dua syarikat itu setelah menjual pegangan dalam FashionValet.
Khazanah, dalam kenyataannya berkata pelupusannya dari FashionValet mewakili jalan keluar yang bertanggungjawab untuk memindahkan pemilikan kepada pihak yang boleh membantu membimbing mereka ke trajektori pertumbuhan baharu.
Sementara itu, PNB, dalam kenyataan berasingan juga menjelaskan pelaburannya dalam FashionValet dibuat menggunakan dana proprietarinya (hak miliknya) dan bukan dana amanah yang berada di bawah ASNB yang dilanggan oleh orang awam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram