Fahmi akhiri lawatan produktif ke Turkiye, galak pertumbuhan digital dan keselamatan siber di OIC

Dari Penulis

LAWATAN rasmi pertama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ke Türkiye berakhir dengan impak positif dan berpandangan ke hadapan, menekankan kepada memacu transformasi digital dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam lawatan beliau, yang termasuk beberapa pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan wakil dari pelbagai negara OIC, Fahmi mengetengahkan isu-isu utama yang dibangkitkan dalam perbincangan, terutamanya mengenai keselamatan siber dan usaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan dalam rangkaian negara-negara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa 17 daripada 57 negara anggota masih diklasifikasikan sebagai negara kurang maju, menekankan keperluan kepada usaha bersepadu untuk merapatkan jurang pembangunan dan mewujudkan lebih banyak peluang yang saksama untuk kemajuan OIC.

“Ini satu cabaran yang besar tetapi dalam siri pertemuan saya dengan beberapa menteri termasuk dari Turkiye dan Palestin serta beberapa perbincangan lain menunjukkan kita boleh meneliti hubungan antara negara-negara tersebut.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah bukan hanya merapatkan hubungan tetapi saling bertukar kepakaran dan meningkatkan perdagangan antara negara,” katanya kepada Bernama selepas majlis penutup Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) OIC.

Baca artikel lain: Dasar Luar Malaysia kekal meskipun jadi rakan BRICS – Mohamad Alamin

Kunjungan ini merupakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun seorang menteri Malaysia ke COMCEC, kali terakhir dihadiri Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.

Beliau berkata negara-negara anggota OIC perlu mengutamakan perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama kukuh antara negara-negara Islam untuk membangunkan ekosistem kewangan yang moden, cekap dan inklusif, serta menghapuskan kaedah tradisional yang lapuk.

Selain itu, beliau menyertai sesi pertukaran pandangan mengenai Transformasi Digital Sistem Pembayaran sesama negara anggota OIC pada Isnin.

Fahmi turut menekankan usaha bersepadu dan perkongsian pembelajaran dalam kalangan negara anggota OIC yang penting untuk memacu gelombang transformasi digital seterusnya.

Dalam lawatan itu, Fahmi mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek dan Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu Ahmed Ali Al Sayegh mengenai kemungkinan kerjasama dan pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi digital.

Beliau juga bertemu Menteri Ekonomi Negara Palestin Mohammad al-Amour pada Selasa untuk membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan Palestin dalam pelbagai bidang serta Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam (SESRIC) Zehra Zumrut Selcuk.

Fahmi, yang tiba di Istanbul pada 3 November bagi lawatan kerja sehingga 5 November, turut mengambil peluang bertemu pelajar dan diaspora Malaysia di negara tersebut.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This