Iman yang teguh kepada Allah akan melahirkan insan-insan yang berkeperibadian unggul. Inilah ajaran yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. yang telah berjaya mengubah masyarakat Arab jahiliyah kepada masyarakat yang bertamadun. Iman yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati mereka akan menjadikan seseorang individu tersebut:
Pertama: Yakin sepenuhnya kepada Allah yang Maha Esa. Lantaran itu akan menggerakkan seluruh tingkah laku, percakapan dan gerak gerinya untuk mencari keredaan Allah semata-mata.
Kedua: Melahirkan insan-insan yang mempunyai akhlak yang cemerlang dan terpuji. Bahkan mengikis sifat-sifat buruk serta melahirkan manusia yang bertaqwa, tawaduk, ikhlas, redha dan juga sifat-sifat terpuji lain, di samping menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, riak, takabbur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosial dalam masyarakat
Ketiga: Melahirkan masyarakat yang optimis dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja dan beribadat kepada Allah bagi mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat
Keempat: Mengatur kehidupan yang harmoni, saling menghormati dan melakukan kewajipan masing-masing seterusnya dapat mewujudkan persaudaraan yang kukuh dan melahirkan umat yang bersatu padu berteraskan akidah yang satu
Kelima: Melahirkan insan dan masyarakat yang teguh pendirian, berprinsip, dan tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang mengancam nilai. Mereka mampu membezakan dan memilih nilai-nilai positif dan menolak nilai-nilai negatif yang boleh merosakkan diri serta masyarakat
Keenam: Membawa manusia dan masyarakat maju ke hadapan dalam segala bidang. Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Arab telah berubah daripada satu bangsa yang tidak dikenali kepada satu bangsa yang disegani. Akidah Islam telah mengangkat darjat dan kedudukan mereka sehingga menguasai hampir separuh daripada bumi ini.
Ketujuh: Mendorong manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan dan menghindari segala kemungkaran. Dengani man yang terpasak kukuh di dada, mereka akan takut melakukan jenayah, pencerobohan atau kezaliman ke atas sesiapa kerana yakin kepada hari pembalasan.
Kelapan: Melahirkan individu yang tidak mudah berputus asa atau hilang harapan. Iman di dalam hati akan memberikan ketenangan yang luar biasa.
Kesembilan: Melahirkan individu yang sanggup berjihad ke jalan Allah sekalipun harta dan nyawa menjadi taruhan. Ini yang terjadi kepada sahabat Baginda s.a.w. iaitu Bilal bin Rabah yang sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya. Begitu juga para sahabat Rasulullah yang lain. Mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk mempertahan dan menyebarkan Islam keseluruh dunia.
Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,
“Keluar dari api neraka orang yang mengucapkan “Laa Ilaha Illallah” dan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat gandum. Keluar dari api neraka orang yang mengucapkan “Laa Ilaha Illallah” dan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat jagung dari kebaikan. Dan keluar dari api neraka orang yang mengucapkan “Laa Ilaha Illallah” dan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat biji sawi” dalam riwayat yang lain disebutkan ‘keimanan’ sebagai ganti dari perkataan kebaikan” (HR Bukhari)
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram