PENYANYI popular negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin,45, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah berkenaan.

“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.

“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.

“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik,” katanya.

Tambah Siti, seni juga menghubungkan dan menyatukan semua tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.

“Saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara.

“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.

“Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana…

“Walau kering tak bercahaya bunga melur…

“Baumu memikat jiwa…,”.

“Saya sentiasa mengingatkan diri, seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara,” ujarnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Sejarah itu menyifatkan kejayaan dan rezekinya hari ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni selama hampir 29 tahun.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.

“Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini.

“Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongan kepada karier saya selama ini.

“Tidak dilupa buat peminat-peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang telah mendukung kerjaya saya selama ini.

“Tanpa penglibatan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi. Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Sempena gelaran Biduan Negara itu, Siti membawa pulang wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.

ASN 2024 adalah penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan dalam bidang kesenian negara, mampu melonjakkan tokoh seni tempatan sebagai seniman bertaraf dunia.

Untuk rekod, ASN sudah diadakan sebanyak lapan edisi bermula 1993, 1995, 1997,1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada 2009 dengan tokoh pernah menerima ASN ialah Tan Sri Dr Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Dr Ahmad Nawab (Seni Muzik) dan Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan).

ASN diperkenalkan pada 1993 untuk mengiktiraf pencapaian menakjubkan penggiat seni dalam pelbagai cabang seni seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual.