PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan single terbaharu berjudul Sejarah ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa.
Lagu Sejarah mempunyai signifikan tersendiri dalam karier Siti yang bakal mencecah usia 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
Sejarah merupakan gandingan Erwin bersama anak perempuannya, Gita Gutawa selaku penulis lirik. Menurut Erwin, Sejarah diciptakan khusus buat Siti dengan membayangkan keindahan nyanyian serta personaliti yang ada pada penyanyi tersebut.
Erwin meminta Gita menulis lirik berkisarkan seseorang yang kaya dengan pengalaman hidup dan memaknakan kesyukuran dalam setiap bait kata yang diungkapkan.
Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik yang digarap indah khusus untuk Siti.
Lagu Sejarah merupakan buah tangan istimewa Siti sebelum menutup tirai 2024 setelah sibuk menganjurkan beberapa siri konsert sepanjang tahun ini.
Bagi Siti, Sejarah merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa apabila dia kembali dapat berganding bahu bersama Erwin dalam sebuah lagu.
Beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seniya.
“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.
“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ ujar Siti.
Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur.
Besar harapan Siti agar single terbaharu ini akan mendapat tempat di hati peminat. Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd itu sudah boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

