Terserempak lelaki tua tidak terurus, rezeki keluarga India itu berubah setelah menjaganya sehingga ke akhir hayat

Dari Penulis

PERISTIWA ini berlaku dalam pertengahan tahun 2012. Ada sesuatu yang menarik hendak saya kongsikan bersama pembaca sekalian. Kejadian ini saya alami sendiri kerana saya yang bertanggungjawab menguruskan kematian individu tersebut.

Masih saya ingat, hari itu hari Jumaat. Awal pagi saya menerima panggilan dari Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah. Mereka meminta saya bersiap sedia kerana ada jenazah tanpa waris dari hospital itu yang akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Petani sekitar jam 2.30 petang nanti.

Saya dimaklumkan, nama individu yang meninggal itu ialah Yusoff Bin Ibrahim. Segala urusan kafan dan sembahyang jenazah telah dilakukan oleh pihak hospital. Tanggungjawab saya hanya mengebumikan jenazah saja.

Sebagai penyelaras tanah perkuburan, saya hanya menurut arahan. Sudah jadi kebiasaan, jika ada jenazah tanpa waris meninggal di hospital tersebut, kebiasaannya jenazah itu akan dikebumikan di sini.

Selepas mendapat maklumat itu, saya membuat persediaan. Lubang kubur memang sentiasa ada. Sudah ada lima hingga 10 buah liang lahad kosong. Sengaja kami gali lebih awal agar urusan pengebumian lebih mudah dan cepat. Jenazah juga boleh dikebumikan pada bila-bila masa terutamanya bila melibatkan jenazah tanpa waris.

Selesai solat Jumaat hari itu, saya bergegas ke tanah perkuburan. Menanti di sana dua orang pekerja yang akan membantu saya mengebumikan jenazah.

Lebih kurang jam 2:30 petang, van jenazah tiba. Sewaktu melihat dari jauh kelibat van itu, saya rasa hairan. Sebabnya, ada berpuluh-puluh buah kereta yang turut mengiringi van jenazah tersebut. Ada kereta mewah, ada juga kereta tempatan.

Melihat keadaan itu, saya tertanya-tanya sendiri. Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa jenazah itu tidak berwaris. Tapi, mengapa banyak pula kereta yang turut serta mengiringi jenazah?   

Mengikut pengalaman saya, jika itu jenazah yang tidak berwaris, tiada orang yang datang mengiringi. Kalau ada pun hanya beberapa kakitangan hospital, pemandu van jenazah, saya dan pekerja di sini saja.

Belum terjawab persoalan yang bermain dalam kepala, sekali lagi saya terkejut sebaik melihat orang-orang yang mengiringi itu keluar dari kereta masing-masing.

Kesemua yang keluar itu adalah berbangsa India. Tiada seorang pun bangsa Melayu. Jumlahnya lebih kurang 50 orang. Makin bertambah rasa hairan saya.

“Mualaf ke yang meninggal ni?” itu detik saya dalam hati.

Kemudian, dalam ramai-ramai mereka itu, datang seorang lelaki India kepada saya. Dia memperkenalkan diri sebagai Kumaraguru. Jelasnya, dia merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap jenazah lelaki yang akan saya ke bumikan.

Mendengar pengakuan itu sekali lagi dahi saya berkerut. Saya sedikit pelik. Yang meninggal itu Islam dan lelaki itu pula bukan Islam. Bagaimana dia boleh mengaku bertanggungjawab kepada lelaki tadi. Apa hubungannya?

Sebab pelik, saya minta dia ceritakan serba sedikit hubungannya dengan arwah. Ketika itu, barulah saya tahu perkara sebenar disebalik apa yang berlaku.

Cerita Kumaraguru, memang betul dia dengan jenazah langsung tiada sebarang ikatan persaudaraan. Agama pun berbeza. Mereka menganut agama Hindu manakala lelaki itu beragama Islam sejak lahir lagi.

Hubungan Kumaraguru dengan lelaki itu terjalin beberapa tahun lalu. Katanya, satu hari dia dan isterinya terserempak dengan lelaki tersebut di sebuah perhentian bas dalam keadaan tidak terurus. Tapi perhentian bas mana, tak pula saya tanya.

Kata Kumaraguru lagi, dalam pertemuan itu, Pakcik Yusoff mengaku yang dia tiada waris. Hidupnya sebatang kara dan merempat. Tidurnya di mana saja. Makan minumnya hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai. Mendengar cerita itu, timbul rasa kasihan. Disebabkan atas dasar kemanusiaan dan simpati, Kumaragurandan isteri sepakat untuk menjaga Pak cik Yusoff.

Mereka membawa Pak cik Yusoff balik ke rumah dan tinggal bersama selama hampir tujuh tahun sebelum Pak cik Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, pada usia 84 tahun kerana sakit tua.

Apa yang menarik lagi, saya dimaklumkan, walaupun berlainan agama, Kumaraguran tak pernah menyuruh Pak cik Yusoff untuk meninggalkan agama Islam.

Saya diberitahu, Kumaraguru mengupah jiran beragama Islam untuk memasak makanan buat Pak cik Yusoff selama tinggal dengannya. Setiap hari Jumaat pula, ada teksi yang datang menjemput Pak cik Yusoff untuk pergi bersolat Jumaat di masjid. Semua kos tersebut ditanggung oleh Kumaraguru tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Cerita Kumaraguru lagi, selepas dia menjaga Pak cik Yusoff, rezekinya bertambah. Perniagaannya bertambah maju dan mereka hidup senang lenang. Kehadiran Pak cik Yusoff dalam keluarga mereka ibarat membawa rezeki.

Disebabkan itu juga, seluruh keluarga Kumaraguru begitu sayang dengan Pakcik Yusoff. Walaupun berlainan agama dan tiada pertalian darah, mereka melayannya seperti ayah kandung sendiri.

Disebabkan itu juga bila Pak cik Yusuff meninggal, ramai saudara mara Kumaraguru mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan sebagai penghormatan terakhir. Malah, saya juga diberitahu yang segala kos rawatan dan urusan pengebumian Pak cik Yusoff ditanggung oleh keluarga lelaki India tersebut.

Bila mendengar semua itu, saya betul-betul kagum. Walaupun berlainan agama, dan bangsa, hubungan sesama manusia tetap dilebihkan.

Apa lagi kisah tentang kehidupan Pak cik Yusoff, saya tidak tahu. Saya tidak bertanya lanjut sebab sibuk menguruskan urusan pengebumian.

Selepas pengebumian itu, hanya sekali saya berjumpa dengan keluarga Kumaraguru. Itu pun apabila dia hubungi saya meminta izin untuk datang menziarahi pusara Pakcik Yusuff.

Apabila melihat semua itu, saya tersenyum. Saya yakin memang keluarga India itu benar-benar sayang kepada Pakcik Yusoff. Cuma, kadangkala timbul juga persoalan dalam fikiran saya, benarkah arwah Pakcik Yusoff ni hidup sebatang kara dan tiada waris?

Pencerita : Tuan Zulkifli Bin Said

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This