Ramai yang bertanya kepada saya, selama jadi penggali kubur, pernah tak saya alami pengalaman pelik, aneh atau seram?
Saya akui selama lebih 20 tahun jadi penggali kubur, pelbagai pengalaman aneh telah saya lalui semasa menggali kubur atau ketika mengebumikan jenazah.
Antaranya, ada kejadian kubur yang digali asyik runtuh. Ada juga kejadian walaupun tanah kubur lembut tapi hendak menggali begitu susah. Tanah terasa keras. Sampai berjam-jam menggali baru siap.
Pernah juga kubur yang digali digenangi air sehingga jenazah terpaksa dikebumikan juga. Ada pula kejadian proses pengebumian berjalan lancar, terasa terlalu senang tanpa sebarang masalah.
Tapi, kejadian yang berlaku sekitar tahun 80-an, saya kira paling aneh dalam hidup saya. Kejadian ini saya tidak boleh lupa sampai bila-bila.
Begini, malam Jumaat itu, saya diminta oleh seorang waris Allahyarham Haji Salleh yang baru meninggal dunia kerana sakit tua untuk menggali kubur arwah. Waris itu meminta saya gali seawal mungkin, sebab jenazah akan dikebumikan sebelum solat Jumaat.
Esoknya, pagi-pagi lagi, bersama dua orang sahabat iaitu Rahman dan Darus, saya terus menuju ke tanah perkuburan. Memang bila ada kematian di kampung ini, kami bertigalah yang dicari untuk menggali lubang kubur. Tapi adakalanya, ada juga waris-waris si mati atau penduduk kampung yang sudi datang membantu kami.
Sebaik sampai di tanah perkuburan, kerja-kerja menggali dimulakan. Kami lakukan seberapa pantas yang boleh sebab jenazah akan dikebumikan sebelum solat Jumaat. Kalau lambat takut kubur tak sempat siap.
Selepas dua jam menggali, kedalaman kubur sudah separas dada. Hanya tinggal bahagian liang lahad saja yang belum siap. Liang lahad kami tidak gali di bahagian tepi seperti biasa. Sebab tanah perkuburan di sini berpasir. Nanti kubur mudah runtuh. Jadi liang lahad kami buat di bahagian tengah. Oleh sebab itu, jenazah biasanya akan dikebumikan bersama keranda papan yang kami buat.
Selepas tiga jam menggali dan bermandi peluh, akhirnya kubur Allahyarham Haji Salleh siap. Jenazah arwah boleh dibawa ke perkuburan untuk dikebumikan pada bila-bila masa.

Kira-kira pukul 11.30 pagi, iaitu selepas setengah jam kubur siap digali, barulah jenazah tiba. Tanpa berlengah beberapa orang waris dan penduduk kampung mengangkat keranda jenazah lalu mengangkat keranda jenazah lalu diletakkan di tepi lubang kubur.
Kemudian perlahan-lahan keranda Allahyarham kami buka. Jenazah Haji Salleh terbaring kaku berbungkus kain putih. Beberapa orang rakan saya mengisi tanah ke dalam kain yang dijahit seperti bantal yang akan berfungsi sebagai penyendal jenazah.
Selepas tanah penuh dan diikat, kami mengiringkan jenazah supaya rusuk kanan, muka dan dadanya menghadap ke arah kiblat. Bantal dari tanah itu pula kami sendal di bahagian kepala, pinggang, dada dan belakang jenazah. Kami buat begitu supaya jenazah tak akan bergerak-gerak atau terlentang apabila kami turun kan ke dalam lahad nanti.
Siap semuanya, perlahan-lahan keranda diangkat dan diturunkan ke dalam lahad. Selepas masuk dalam lahad, pintu keranda sekali lagi saya buka.
Saya buat begitu sebab nak pastikan jenazah arwah tak bergerak atau terlentang semasa kami turunkan tadi.
“Semua okey!” beritahu sahabat saya yang turut berada di dalam lubang kubur.
Selepas semuanya lancar, keranda ditutup dan kubur arwah kami kambus. Setengah jam kemudian, tanah sudah meninggi, memenuhi kubur arwah.
“Dah boleh nak baca talkin,” beritahu seorang waris Allahyarham dan meminta dipanggilkan imam mengetuai bacaan talkin.
Tidak lama kemudian, Imam Yassin tiba untuk mengetuai bacaan talkin. Sebaik Imam Yassin duduk, matanya terus tajam memerhati ke arah kubur Haji Salleh. Lagak Imam Yassin seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Gali balik kubur ni!” arah Imam Yassin.
Saya dan beberapa orang penduduk kampung yang mendengar arahan Imam Yassin tercengang. Nak digali semula? Apa yang tak kenanya?
“Kenapa nak gali balik, imam?” soal saya tak berpuas hati. Kami perlu tahu alasannya.
“Jenazah tak menghadap kiblat,” beritahu Imam Yassin serius.
Mendengarnya saya agak terkejut. Bagaimana Imam Yassin tahu, sedangkan semasa kami mengebumikan jenazah tadi beliau tidak ada melihatnya.
“Tapi kami dah periksa sebelum kambus tadi. Jenazah memang menghadap kiblat,” seorang waris berhujah dengan Imam Yassin.
“Tak! Saya rasa jenazah tak menghadap kiblat,” jawab Imam Yassin pendek lalu mengarahkan kami segera menggali kubur arwah.
Oleh kerana Imam Yassin seorang yang disegani dan dihormati di kampung kami, arahannya kami turutkan. Kubur arwah terpaksa kami gali semula. Proses menggali itu hanya mengambil masa kurang satu jam sebab ramai yang membantu selain tanah kubur yang belum padat.
Tidak lama kemudian, keranda berisi jenazah mula kelihatan. Perlahan-lahan saya menolak sisa sisa tanah di atas keranda dengan tangan. Lalu saya buka keranda perlahan-lahan.
Sebaik keranda terbuka, saya terkejut. Orang ramai dan waris yang melihat jenazah dari atas kubur turut terkejut sama. Mana tidaknya, memang benar jenazah tidak berada pada posisi menghadap kiblat seperti dikebumikan tadi.
Jenazah berpusing 360 darjah. Belakang badan jenazah pula yang menghadap kiblat. Waktu itu, saya betul-betul hairan! Memang pelik. Macam mana perkara ini boleh berlaku?
Kalau jenazah sekadar jatuh terlentang atau tertiarap itu perkara biasa. Mungkin itu salah kami tak sendal betul-betul semasa kebumikan tadi. Tapi, jenazah arwah berpusing 360 darjah.
Lebih pelik, sebelum tanah dikambus, saya dan beberapa orang rakan terlebih dahulu periksa keranda. Memang kami sahkan, jenazah berada dalam keadaan elok dan menghadap kiblat. Paling menghairankan kami, macam mana Imam Yassin boleh tahu perkara ini berlaku?
“Dah pusing balik jenazah arwah, lepas tu kambus,” arah Imam Yassin pada kami.
Selepas pastikan jenazah dipusingkan, kubur dikambus semula. Jenazah selamat dikebumikan. Tapi adakah selepas itu jenazah Haji Salleh berpusing semula dan membelakangkan kiblat tiada siapa yang tahu.
Kenapa jenazah arwah jadi begitu juga tiada siapa yang tahu. Cuma, bagi saya mungkin apa yang berlaku itu Allah hendak memperlihatkan sesuatu kebesaran-Nya kepada insan yang masih hidup sebagai pedoman dan iktibar kepada kita. Bagaimana Imam Yassin tahu jenazah telah membelakangkan kiblat juga aneh. Namun, tidak pernah pula saya bertanya tentang hal tersebut kepada Imam Yassin.
Ada juga orang tanya saya, adakah itu balasan Allah kepada arwah? Saya percaya perlakuan kita di dunia ada kaitan dengan kehidupan selepas kematian. Cukuplah saya katakan semasa hidupnya arwah memang seorang yang kedekut dan berkira, termasuk dengan saya.
Arwah juga tak suka bercampur dengan masyarakat. Kalau ada kenduri kendara, jarang arwah nak datang membantu. Malah kalau diajak makan sahaja pun arwah tolak.
“Ahh! Rumah aku ada beras. Nasi pun banyak,” begitulah kata-kata yang sering kami dengar.
Tapi, adakah disebabkan sikap kedekut arwah itu menyebabkan jenazahnya berpusing 360 darjah membelakangkan kiblat, wallahuaklam.
Sesungguhnya, hanya Allah saja yang lebih layak dan Maha Mengetahui segala sesuatu. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah! Amin.
*Seperti diceritakan Haji Margono Samod, seorang penggali kubur kepada wartawan Mastika.
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

