Kejayaan Projek Tanaman Hidroponik Kampung: Pemangkin Ekonomi dan Kelestarian Alam. Simbol kejayaan komuniti kampung

Dari Penulis

Dalam usaha memacu pembangunan komuniti luar bandar dan memperkukuh ekonomi tempatan, Projek Tanaman Hidroponik di bawah program SejaTi Madani telah berjaya dilancarkan dengan jayanya. 

Projek ini dipilih hasil perbincangan menyeluruh di peringkat jawatankuasa kampung selepas menghadiri taklimat program SejaTi Madani. Hidroponik dipilih sebagai kaedah pertanian utama kerana kelebihan yang mesra alam, menjimatkan air, dan memerlukan ruang yang lebih kecil. Tambahan pula, hasil tanaman ini bebas dari penggunaan racun kimia, menjadikannya lebih sihat dan selamat untuk pengguna.

Ketua Kampung Changkat Dermawan, Ariffudin Mohd Noor Ariffin yang juga merangkap Pengerusi Projek Tanaman Hidroponik berkata, objektif utama projek ini adalah untuk menggerakkan ekonomi kampung dan mewujudkan peluang pendapatan tambahan kepada penduduk, khususnya golongan belia. 

Projek yang di jenamakan sebagai ‘KCD Hidrofarm’ turut menyokong agenda keselamatan makanan negara dan seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, yang mengutamakan kelestarian dan pembangunan komuniti berdaya saing.

“Dengan sokongan padu semua pihak, projek ini diharap menjadi contoh kepada kampung lain dan menjadi pemangkin kepada inisiatif-inisiatif pertanian moden yang lain.

“Usaha bersama, hasil dinikmati bersama ialah moto projek ini,” katanya. 

Projek ini telah berjaya disiapkan dengan dana sebanyak RM100,000 yang diperuntukkan sepenuhnya mengikut bajet yang diluluskan. Pembinaan struktur hidroponik telah siap sepenuhnya, dan majlis perasmian ini turut diserikan dengan tuaian pertama tanaman kailan segar, simbolik kejayaan usaha keras komuniti kampung.

Satu lagi aspek yang penting adalah perancangan pemasaran hasil tanaman ini. Pihak pengurusan projek telah berjaya mendapat sokongan penuh daripada FAMA, agensi kerajaan yang bertanggungjawab membantu dalam pemasaran hasil pertanian. Kerjasama ini memastikan bahawa hasil tuaian bukan sahaja dipasarkan di pasar tempatan dan restoran sekitar, tetapi juga mencapai pasaran lebih luas melalui platform e-dagang dan pemborong yang berpotensi.

Ariffudin turut menekankan bahawa projek ini bukan sahaja mengenai tanaman, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan gotong-royong dalam kalangan penduduk. 

“Semangat ini menjadikan projek ini bukan sekadar sumber ekonomi tetapi juga lambang kesatuan komuniti kita.

“Dengan projek ini, harapan untuk memperkasakan komuniti, meningkatkan kualiti hidup, dan melahirkan generasi yang celik teknologi pertanian semakin cerah. Semoga Projek Tanaman Hidroponik ini terus memberi impak positif dan menjadi inspirasi kepada kampung lain yang bercita-cita untuk maju dalam bidang pertanian moden,” katanya.

AJK bersama penduduk kampung yang terlibat dengan projek tanaman hidroponik.

Majlis turut disajikan dengan demonstrasi proses tuaian dan lawatan ke struktur hidroponik yang lengkap dengan teknologi terkini bersesuaian dengan slogan ‘Revolusi Pertanian Di Pinggir Desa’ yang telah di ilhamkan oleh Ketua Kampung sendiri. 

Dalam pada itu, penduduk kampung yang hadir menyatakan keterujaan mereka dan berharap projek ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha yang dapat memberi manfaat kepada kampung pada masa akan datang.

Majlis perasmian projek ini disempurnakan oleh Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, Pegawai Daerah Batang Padang.

Terdahulu, majlis perasmian projek ini disempurnakan oleh Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, Pegawai Daerah Batang Padang di hadapan lebih 300 orang hadirin, termasuk pegawai-pegawai agensi kerajaan, serta Pengerusi dan ahli jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari beberapa kampung berhampiran serta sebahagian besar penduduk di sekitar Tapah Road.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UtusanTV kukuhkan hubungan kerjasama media bersama MOTAC

UTUSANTV meneroka ruang kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia dengan mengadakan kunjungan hormat di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya...

More Articles Like This