Mahkamah sahkan Farid-Diana suami isteri kali kedua, permohonan cerai didengar 2 Disember

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini, mengesahkan bahawa pasangan pelakon Diana Danielle dan Farid Kamil sah sebagai suami isteri buat kali kedua selepas mereka merujuk kembali pernikahan mereka selepas penceraian kali pertama, tahun lalu.

Perkara itu ekoran kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah di hadapan Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin, bahawa pasangan ini telah rujuk semula pernikahan mereka pada 31 Ogos tahun lepas.

Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle berkata, susulan mahkamah telah mengesahkan mereka sah kembali sebagai suami isteri tahun lalu, kedua-dua pihak perlu hadir ke mahkamah pada tarikh akan datang untuk mengemukakan sijil rujuk masing-masing.

“Selepas ini mahkamah mengarahkan kita untuk dapatkan sijil perakuan rujuk dan bawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan kedua iaitu permohonan cerai, sebab itu adalah sebagai bukti mereka telah kembali sebagai suami isteri.

“Isu rujuk sudah selesai hari ini dan status mereka sebagai suami isteri sudah disahkan oleh mahkamah. Dengan perintah dari mahkamah itu, kita boleh mohon dapatkan sijil rujuk itu di Pejabat Agama mengikut prosedur.

“Jika nak cerai, dia kena kemukakan sijil rujuk ini untuk permohonan cerai tersebut,” kata peguam itu ketika ditemui pemberita hari ini selepas prosiding sebutan bagi pengesahan rujuk sebelum mahkamah mendengar permohonan cerai yang difailkan oleh Diana Danielle terhadap Farid Kamil.

Tambah beliau, mahkamah menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk sebutan kes bagi kedua-dua pihak mengemukakan sijil rujuk dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga bagi permohonan cerai yang difailkan oleh anak guamnya.

Pada tarikh itu juga katanya, Farid perlu memaklumkan kepada mahkamah berhubung pendiriannya untuk meneruskan penceraian atau tidak.

“Kalau Farid tidak bersetuju untuk cerai, kita akan melalui jawatankuasa pendamai (JKP) dan proses-proses berikutnya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Kalau jadi cerai, ia akan dilafazkan sebagai penceraian talak dua,” ujarnya lagi.

Sementara itu Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid Kamil, mengesahkan berhubung isu rujuk yang didengar di mahkamah hari ini.

“Kita hanya mendengar pengesahan rujuk sahaja dan mahkamah telah pun mengesahkan rujuk yang telah dibuat oleh Farid.

“Kita juga tiada bantahan berhubung perkara itu. Isu penceraian tidak boleh diteruskan pada hari ini kerana dokumen-dokumen perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Ketika ditanya berhubung keputusan anak guamnya sama ada ingin meneruskan penceraian atau tidak, beliau memberitahu anak guamnya masih belum memutuskan sebarang pendirian.

“Pada tarikh akan datang, untuk proses mahkamah sememangnya kita sudah bersedia, bagaimanapun keputusan (untuk cerai) masih belum ada.

Sebelum ini pada 4 November lepas, UtusanTV melaporkan Diana Danielle sekali lagi nekad memfailkan permohonan rujuk dan permohonan cerai buat kali kedua ekoran tiada lagi persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.

Oktober lalu, kisah kemelut rumah tangga pasangan pelakon ini kembali hangat apabila Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana memfailkan permohonan cerai buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari ekoran tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Kemudian pasa 10 Ogos 2023. Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43 dan Diana atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 34, kemudian sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet namun mereka rujuk kembali pada hujung bulan yang sama.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This