Bunga layu sebelum kembang, lemas di tasik nafsu

Dari Penulis

SEBANYAK 17,646 kes remaja hamil luar nikah dicatat sepanjang lima tahun lepas daripada jumlah keseluruhan 44,263 kes kehamilan remaja sepanjang tempuh sama berdasarkan data Kementerian Kesihatan.

Trend ini sangat membimbangkan. Kehamilan remaja luar nikah boleh memberi implikasi tidak sihat, seperti pembuangan bayi dan pengguguran tidak selamat demi menutup malu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sendiri meluahkan kebimbangan isu kehamilan remaja dan perkahwinan bawah umur, yang bukan sahaja memberi kesan kepada yang terlibat tetapi juga mewujudkan masalah sosial yang serius.

Namun perlu diingat, kes remaja hamil dan remaja hamil di luar nikah adalah berbeza. Remaja hamil tidak semestinya tidak berkahwin kerana negeri seperti Sarawak membenarkan perkahwinan di bawah umur 18 tahun.

Sebenarnya umur di bawah 18 tahun umumnya dianggap terlalu muda dan belum cukup matang atau bersedia sepenuhnya untuk melayari bahtera rumah tangga. Belum masak ilmu berumah tangga serta menguruskan anak. Akhirnya terdapat rumah tangga hiruk pikuk dan kandas di tengah jalan.

Tetapi ini bukan kesimpulan ‘blanket’. Ada yang matang walau pun masih bawah umur. Kerana itu mereka mampu menjalani kehidupan berumah tangga penuh harmoni sehingga ke hujung nyawa. Risiko memang ada, terserah kepada kebijaksanaan untuk menangani cabaran berkeluarga.

Kerana itu kes remaja hamil tetapi berkahwin tidak terlalu membimbangkan. Yang lebih dikhuatiri dan mesti diberi perhatian serius ialah kes remaja hamil di luar nikah. Bagi orang Islam khususnya ini adalah kes zina yang merupakan dosa besar.

Kehamilan yang sebegini akhirnya menjerumus kepada kes pengguguran yang dilakukan secara tidak selamat. Juga berlanjutan kepada kes buang bayi untuk mengelak malu dan memastikan perbuatan keji tidak dapat dikesan.

Media kerap melaporkan kisah bayi dibuang, ada yang masih bernyawa ada yang sudah kaku. Lantaran dorongan hawa nafsu tidak rasa berdosa atau malu ketika melakukan perbuatan terkutuk. Tetapi tahu pula malu dengan hasil perbuatan mereka.

Kenapa gejala remaja hamil luar nikah berlaku dan terus berlaku? Mungkinkah kerana didikan agama yang tidak cukup sempurna untuk menjadi benteng yang kukuh mengelakkan diri daripada melakukan maksiat?

Pergaulan bebas tanpa batasan dianggap pemangkin kepada perlakuan maksiat. Jika asyik berkepit siang malam, lambat laun akan terjebak ke dalam perlakuan terkutuk. Masa remaja penuh godaan, penuh semangat ingin mencuba. Maka lagi mudah terjerumus.

Dalam era globalisasi serba mencabar, banyak faktor menjermuskan remaja ke kancah tidak diingini. Mereka berhadapan dengan tekanan jiwa dan minda kononnya utuk menyesuaikan diri dengan norma sosial yang berubah agar tidak nampak ketinggalan.

Kerana itu mereka mudah terpengaruh dengan budaya luar, didorong oleh akses kepada pelbagai maklumat tanpa had. Tidak mengapa jika menimba maklumat bermanfaat, tetapi ramai remaja lebih suka mengakses maklumat tidak berfaedah seperti bahan lucah, seks dan sebagainya.

Akses kepada media sosial dan internet kerap menjerat remaja kepada ‘hubungan segera’ melalui perkenalan secara maya. Baharu sahaja berkenalan, seorang remaja perempuan sudah berani keluar dengan lelaki yang baharu dikenali.

Banyak kes berlaku di mana pada pertemuan pertama ini terjadi perbuatan rogol, secara rela atau paksa. Bila sudah seronok kali pertama akan melakukan berulang kali. Jadilah ibarat bunga layu sebelum kembang, terkulai di tasik hawa nafsu. Akhirnya mengandung dan berlakulah kes pengguguran atau buang bayi.

Kemajuan teknologi tidak boleh dihalang atau dihentikan. Semakin lama semakin maju sejajar perubahan masa. Remaja hari ini bagai ketagih dengan media sosial yang dijadikan medan berkenalan dan berinteraksi sehingga terjebak gejala tidak diingini.

Justeru jadilah pengguna bijak dengan memilih hanya yang baik, bukan yang merangsang diri ke arah perlakuan tidak senonoh. Jangan disalah guna kemudahan teknologi, sebaliknya diri sendiri yang mesti pandai mengawal diri.

Untuk menambah kesedaran, pendedahan mengenai pentingnya pendidikan seks dan reproduktif wajar diterapkan di sekolah, selain tumpuan kepada akademik. Dalam senario hari ini, pendidikan seks wajar diterima sebagai ilmu untuk pedoman, bukan berunsur lucah.

Tidak kurang penting, ibu bapa mesti mengawasi tingkah laku anak-anak remaja mereka. Juga usah malu atau berselindung berbicara mengenai seks demi mendidik anak-anak memahami isu yang berhubung kait dengan seks, seperti risiko kehamilan luar nikah atau pengguguran bayi.

Angka remaja hamil luar nikah yang mencecah belasan ribu perlu disifatkan sebagai loceng amaran agar gejala tidak sihat ini segera dibendung. Jika tidak ia akan tambah melarat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka...

More Articles Like This