Malaysia International Branding Showcase (MIBS) 2024 membuka tirai dengan menampilkan lebih 540 reruai dengan penyertaan 280 peserta antarabangsa dan 260 peserta tempatan. Pameran ini berlangsung dari 28 hingga 30 November 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara ini dianjurkan bersama oleh Malaysia Promas International Business Society (PROMAS), Wawasanita, dan DPUM, serta disokong oleh MATRADE, Hawa Malaysia, dan Women in Trade and Industry (WITI). Bukan sekadar ruang pameran, namun ia merupaka satu inisiatif strategik yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sambil memposisikan jenama Malaysia di pentas global.
Dalam pada itu, antara sorotan utama ialah majlis menandatangani enam Memorandum Persefahaman (MOU) dan Surat Niat (LOI) antara NCL Solutions dan beberapa persatuan, syarikat, serta institusi pendidikan. Kerjasama ini menandakan permulaan hubungan dua hala dari kalangan negara ASEAN dalam bidang seperti projek antarabangsa, usaha import dan eksport, serta inisiatif pembangunan komuniti.
Kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa, memperluas rangkaian perniagaan, dan memupuk kerjasama yang berimpak. MOU dan LOI yang ditandatangani akan membuka peluang pertumbuhan baru dalam pelbagai industri, dengan fokus kepada pembangunan mampan di seluruh rantau ASEAN dan seterusnya.
Pameran tahun ini menampilkan empat kategori khusus iaitu Malaysia International Garment & Fabrics Expo (MGF), Malaysia International Smart Commodities Fair (MSC), Malaysia International Traditional & Complementary Health Food Product Expo (MTH), dan Malaysia International Food & Beverage Fair (MFB). Kategori-kategori ini meliputi pelbagai industri dan minat, menjadikan MIBS 2024 sebagai platform inklusif untuk semua peserta.

