Jika disebut tentang piramid, ia sinonim dikaitkan dengan Mesir. Salah satu yang terkenal ialah Piramid Giza. Ramai tidak tahu, di Bosnia Herzegovina juga ada piramid.
Terletak di Bukit Visoko, 30 kilometer di sebelah utara Sarajevo, tiada siapa menyangka kawasan bukit yang dilitupi tumbuhan itu sebenarnya sebuah binaan piramid kuno. Gunung Visoko dengan ketinggian 200-230 meter dari aras laut jika dipandang dari jarak 700 meter, bentuk bukit itu seakan-akan seperti piramid.
Kawasan ini mula menjadi perhatian pengkaji pada tahun 2005. Menurut penggalian di kawasan itu telah dimulakan pada April 2006, diketuai oleh Mr Semir Osmangic, ahli arkeologi Bosnia. Kajian turut dilakukan oleh ahli arkeologi daripada luar negara seperti Scotland, Slovenia, Australia dan Austria.

Kajian awal telah menemui tiga buah piramid di kawasan ini. Para ahli arkelogi turut memberikan nama kepada piramid-piramid yang ditemui. Bukit Visocica yang merupakan piramid utama dinamakan ‘Sun Pyramid’ (Piramid Matahari). Manakala dua bukit kecil di sekitarnya dinamakan ‘Moon Pyramid’ (Piramid Bulan) dan ‘Dragon Pyramid’ (Piramid Naga). Kemudian, dua piramid lagi turut ditemui yang dinamakan sebagai Piramid Bumi dan Piramid Cinta.
Terowong Awet Muda
Semasa berkujung ke Bosnia beberapa tahun lalu, Mastika turut singgah di sini. Pemandu pelancong kami bernama Danijela Mehic menceritakan, sesiapa yang berpeluang memasuki terowong bawah tanah di kawasan piramid ini boleh merasai sendiri proses peremajaan semula atau awet muda. Malah dikatakan usia seseorang boleh panjang jika tinggal dalam terowong di Piramid Matahari dalam tempoh tertentu.
“Sesiapa sahaja yang telah memasukinya dan berada dalam terowong di Piramid Matahari mengakui berasa sangat tenang dan damai di sana. Bukan fantasi tapi ini realiti. Ujian menunjukkan bahawa tahap fisiologi dan keadaan emosi yang sangat tenang ketika seseorang berada dalam piramid Visoko,” katanya.

Danijela yang telah memasuki Piramid Matahari berkali-kali ketika membawa pelancong mengakui kehebatan energi yang terdapat di dalam piramid tersebut. Danijela turut memberitahu fakta beberapa kajian yang dijalankan di dalam terowong piramid itu menunjukkan bahawa tahap ion adalah 43 kali lebih tinggi dari bahagian luar kawasan piramid.
“Ada kawasan tertentu dalam terowong menjadi ‘bilik awet muda’ dan dikatakan boleh memberi kesan kepada jangka hayat manusia untuk hidup lebih lama,”katanya.
Pemandu pelancong kami ini turut menceritakan tentang kejayaan Dr. Semir Osmanagich yang berjaya menemukan Piramid Matahari.

Ahli arkeologi berbangsa Bosnia yang suka memakai topi dan pakaian seperti watak Dr. Indiana Jones dalam filem Raiders of The Lost Ark itu mendapati satu pancaran sejalur tenaga medan elektromagnet semula jadi dengan radius 4.5 meter pada frekuensi 28 kHz, serta dengan kekuatan sekitar 3.9 V telah dikesan di puncaknya.
Bagi kalangan pengkaji, perdebatan dan perbahasan masih hangat membincangkan idea Dr. Semir Osmanagic bahawa piramid di Lembah Visoko ini bukan tercipta secara semula jadi tetapi merupakan satu bangunan kuno buatan manusia yang dipercayai telah berusia lebih 29,000 tahun lalu.
Penggalian yang dilakukan oleh Dr. Semir mendapati telah menemukan tapak satu dataran tinggi, pintu masuk berturap dan terowong udara, serta blok batu kuno.
Penggalian yang dilakukan para pengkaji pada tahun 2010 telah menjumpai tiga blok seakan bilik dan sebuah danau kecil berwarna biru. Struktur tersebut dipercayai telah dibina oleh penduduk purba Illyrian Balkan seawal 12,000 Sebelum Masihi.

Untuk memasuki terowong bawah tanah yang berselirat dalam Piramid Visoko, pelancong perlu memakai topi keselamatan. Hanya Piramid Matahari yang dibuka kepada pelancong, manakala Piramid Bulan, Piramid Naga, Piramid Bumi dan Piramid Cinta masih dalam kajian lanjut.
Semasa di dalam terowong bawah tanah, kami dimaklumkan pertalian erat antara Piramid Matahari dan Piramid Bulan dari segi astronomi.
“Saat senja berlabuh dan matahari mulai terbenam, bayangan Piramid Matahari akan berpindah ke dalam ngarai, lalu menutupi Piramid Bulan. Petanda ini jelas menunjukkan peranan matahari pada sebelah siang telah selesai. Maka bermulalah peranan bulan pula pada malam hari,” cerita Merdin Mostarlic, pemandu pelancong di piramid ini.
Merdin memberitahu, fenomena astronomi ini hanya ditemukan pada Piramid Matahari dan Piramid Bulan di Bosnia. Namun, keunikan itu tidak terdapat pada Piramid Naga, Piramid Bumi atau Piramid Cinta.

Kewujudan piramid di Bosnia telah berjaya mengubah persepsi dan sejarah tentang pembinaan piramid yang selama ini tertumpu terhadap Mesir purba yang dipercayai dimonopoli kepakarannya oleh arkitek semasa pemerintahan raja-raja Firaun.
Walaupun misteri dan kesahihan tentang piramid di Bosnia ini masih belum terjawab keseluruhannya, tetapi pelancong-pelancong dari seluruh dunia telah datang untuk melihat secara dekat kehebatannya.
Lorong, Ruang Dan Danau Buatan Manusia
Sebenarnya terowong di dalam piramid Matahari ini tidak gelap. Ada lampu terpasang di sepanjang terowong sendat yang berselirat. Terowong ini sentiasa basah kerana ada aliran air meresap di dindingnya.
Para pelancong juga dibawa melawat satu blok seramik seberat 8,000 kilogram yang juga didakwa memberi kesan positif kepada ketenangan manusia yang berada di terowong bawah tanah gunung Visoko.

Menurut Ajdin, analisis geografi dan kewujudan terowong dan ruang di dalam piramid serta contoh analisis blok empat persegi panjang dari piramid Matahari yang diperoleh dari Institut kajian di Bosnia, Itali dan Perancis telah mengesahkan bahawa lorong-lorong yang wujud itu adalah buatan manusia dengan kualiti yang luar biasa.
Analisis radiokarbon yang dihantar ke Poland pada tahun 2011 dan analisis pedological di Bosnia pada tahun 2006 mendapati piramid di Visoko dipercayai telah dibina lebih 10,000 tahun yang lalu.
Salah seorang pekerja yang terlibat menggali terowong di piramid Matahari, Novokilet Salko, 64, yang lebih dikenali sebagai Bret Pitt menceritakan, laluan bawah tanah itu memiliki kepanjangan puluhan kilometer dan terdiri dari lorong-lorong, ruang dan danau buatan manusia.
“Jika hendak membandingkan struktur binaan dan teknik arkiteknya, ada kemungkinan arkitek dan para juruteranya mungkin orang yang sama terlibat membina Piramid Giza di Mesir. Ada kemungkinan juga orang Bosnia meniru piramid di Mesir dan piramid ini dipercayai yang terakhir dibina oleh arkitek tersebut,” ujar Bret Pitt.

Walaupun bukti-bukti secara saintifik masih belum dapat menjelaskan bagaimana piramid ini dibina sama ada oleh manusia atau terjadi secara semula jadi oleh hakisan air, angin dan hawa. Namun, sejak penemuan piramid Bosnia di Lembah Visoko, sehingga hari ini Dr. Semir dan para pengkaji belum berjaya menemukan struktur piramid yang dicari-cari kecuali bentuk gunung yang menyerupai piramid. Malah, tiada mumia ditemukan setakat ini menyebabkan kesahihannya diragui.
Masih banyak fakta yang boleh dikaji dan analisis bagi mendapatkan jawapan sebenar kewujudan piramid Bosnia berbanding Piramid Giza yang telah terbukti sejarah peradabannya.
Jika kajian seterusnya menemui kejayaan seperti di Mesir, boleh jadi suatu hari nanti piramid di Lembah Visoko ini akan disenaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

