MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor atas kesemua 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonam Rosmah 73, untuk membatalkan kesemua 17 pertuduhan itu.
“Berdasarkan dapatan yang diperoleh oleh mahkamah ini mengenai kesahihan, kejujuran, dan ketepatan terhadap 17 pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh, mahkamah ini dalam melaksanakan bidang kuasa asalnya, di mana perbicaraan kes tertuduh sedang berlangsung, membenarkan permohonan yang dibuat oleh tertuduh untuk membatalkan pertuduhan tersebut,” katanya.
Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata mahkamah mendapati pertuduhan yang dikenakan ke atas isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu tidak menyatakan secara lengkap kesalahan yang dilakukan.
“Pertuduhan yang dirangka untuk kesalahan pengubahan wang haram tidak mendedahkan kesalahan sedemikian atas alasan yang telah saya nyatakan. Dalam undang-undang yang telah ditetapkan, sesuatu pertuduhan hendaklah dirangka sedemikian rupa agar tertuduh mengetahui dengan jelas, khusus, dan terperinci mengenai kes yang perlu dihadapinya, tanpa tertinggal dalam keadaan samar mengenai undang-undang mana yang telah dilanggarnya.
“Namun, pertuduhan tersebut menyatakan Akta 613, tetapi terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat undang-undang yang menyokong kesalahan pengubahan wang haram tersebut,” ujarnya.
Sebelum ini, pihak pembelaan menghujahkan pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah adalah cacat dan mengelirukan.
Perkara itu ekoran pertuduhan-pertuduhan itu tidak mendedahkan transaksi atau pergerakan wang dalam akaun beliau, selain pertuduhan-pertuduhan bagi kesalahan itu dihujahkan sebagai kabur kerana tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.
Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

