Cuti sekolah waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak. Kita dulu pun sama kan? Tapi bila dah jadi ayah ni, bila sampai jer musim cuti sekolah, mula pening kepala. Ke mana nak bawa anak bercuti, atau pun mana nak cari duit bawa anak bercuti.
Tapi, zaman dulu dengan zaman sekarang lain cara bercutinya. Zaman sekarang kalau bercuti mesti kena bawa pergi makan angin. Kalau yang berkemampuan, makan angin sampai ke luar negara. Maklumlah ekonomi ibu bapa sekarang berbeza dengan ekonomi ibu bapa dahulu.
Selain tu, sekarang ni semua benda mudah dan agak murah. Ada penerbangan tambang murah, pakej hotel juga murah-murah. Tak seperti dulu. Semua mahal.
Kanak-kanak dulu kalau cuti sekolah, mana ada yang pergi melancong. Kalau ada pun anak-anak orang kerja kerajaan macam cikgu dan pegawai-pegawai. Macam kami anak orang kampung yang kurang berkemampuan, biasanya cuti sekolah, duduk rumah atau pun ayah hantar duduk rumah datuk dan nenek.

Macam Ambo dulu pun sama. Jarang sekali kalau cuti dapat makan angin. Biasanya kalau dah boring sangat duduk rumah, ayah akan hantar pergi ke rumah nenek di Tanah Merah, Kelantan. Di situ, kalau waktu cuti sekolah memang tempat berkumpul. Jadi ramailah saudara mara. Semua anak-anak akan dihantar balik kampung.
Pagi-pagi celik jer mata, buka televisyen dulu. Masa tu mana ada banyak saluran televisyen. Hanya ada TV1, TV2, dan TV3 saja. Bukan macam sekarang sampai berpuluh-puluh saluran. Cuba sebut nama cerita yang anda ingat dulu?
Kalau Ambo dulu, drama yang hangat masa tu, Opah, Naik Tangga Turun Tangga, Rumah Kedai, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dan Baba dan Nyonya. Ini semua cerita legend satu masa dahulu. Betul tak?
Lepas dah tak ada cerita nak tengok, barulah mencari makan. Makanan yang Ambo paling suka arwah nenek sediakan dulu ialah pulut warna coklat cecah dengan kacang merah dan kelapa. Pergh! Tak pun pulut coklat dengan kuah sate. Memang sedap. Susah dah nak jumpa makanan tu sekarang.
Lepas perut dah di isi, barulah mulakan aktiviti main. Kalau dah ramai-ramai, cakap je nak main apa. Aktiviti biasa, mandi sungai. Lagi pun rumah mak saudara Ambo dekat sangat dengan sungai.
Seronok mandi sungai ni. Air sungai dulu jernih, tak macam sekarang. Berkeladak. Dulu ikan berenang pun boleh nampak. Sebelum pergi, dah siap-siap bawak garam. Masa dalam perjalanan, cari pula tin milo atau tin susu tepung yang agak besar sikit.
Selain daripada mandi, aktiviti kami adalah mencari etak. Etak ni rupa dia macam lokan, tapi dia kecil. Fuh! Memang sedap. Masak dia ketuk serai sikit, rebus dan campur sedikit garam. Itu pun memang dah meleleh air liur makan. Sambil rebus, mandi sungai.
Kalau matahari dah tegak atas kepala, barulah kalut nak balik. Kalau tak balik, mesti pak saudara kami akan cari. Kalau dia tahu mandi sungai, memang dapat habuan.

Selepas makan tengah hari, biasanya kami semua tidak dibenarkan main di luar sebab panas. Selalunya kami semua diarahkan tidur. Tapi kalau dah ramai-ramai, mana boleh tidur.
Ambo masih ingat lagi, di bahagian dapur rumah nenek dulu, kayu gelegarnya jarang-jarang. Jadi, masa tu Ambo dan dua lagi sepupu Ambo bercadang nak keluar bermain di luar. Jadi kami pun ambil baju dan seluar, lalu kami buang melalui gelegar tu.
Kalau kami keluar dengan keadaan tak berbaju dan seluar, mak-mak saudara takkan syak yang kami hendak main jauh. Padahal seluar dan baju kami dah campakkan ke bawah siap-siap. Lepas tu, kami pun turunlah ke bawah rumah.
Sampai di situ, cari-cari baju kami dah hilang. Eh! Pelik. Rasanya di situ tempatnya kami buang baju tadi. Rupanya, tiga sepupu Ambo dah tahu, mereka dah tunggu siap-siap di bawah. Mereka yang ambil baju kami dan pergi bermain. Hampeh betul!
Satu lagi cerita, kisah sepupu Ambo yang paling kecil. Dalam sepupu yang lain, dialah yang paling kecil. Walaupun kecil, dia ni paling nakal dan paling tak dengar cakap. Kalau dia balik kampung, nenek mesti mula risau. Pintu reban ayam mesti nenek kunci.
Apa taknya, kalau pintu reban tak di kunci, dia akan masuk ke dalam reban dan makan telur-telur ayam. Caranya, dia ambil batu yang kecil, lalu tebuk sedikit lubang dan memakannya. Lepas tu, telur tu dia akan letak balik dalam sangkar. Sebab tu lah walau berbulan-bulan telur tu dieram, memang tak akan menetas. Nak buat macam mana, isinya sudah tak ada.
Kami semua dibenarkan keluar semula selepas solat Asar. Tapi kalau nak cerita permainan, memang tak habis. Macam-macam permainan yang kami main. Main bola kaki tiga, main lompat getah, main rounders, baling tin, main wau, main polis sentri, main sorok-sorok, eh macam-macam lagilah.
Seronok zaman tu. Kalau bab main sorok-sorok ni, ada satu kenangan. Masa kami main sorok-sorok, kami dah hadkan hanya kawasan sini dan sini sahaja yang dibenarkan. Kawasan lain tak dibenarkan. Kami pun mula bermain.

Semua yang main kami jumpa, kecuali seorang. Puas kami mencari. Sampai ke Maghrib. Bila dah tak jumpa, kami bagi tahulah bapa saudara Ambo yang seorang sepupu kami dah hilang. Memang waktu tu hari dah makin gelap. Apa lagi, kami pun kena marahlah.
“Orang dah pesan, jangan main sorok-sorok waktu Maghrib, nanti kena sorok dengan hantu tetek,” kata pak saudara Ambo.
Memang hantu tetek ni kira legend la bagi budak 90-an dulu. Betul tak? Asal hilang jer, mesti hantu tetek yang kena. Tapi kalau nak diikutkan, sehingga sekarang, sekali pun tak pernah jumpa dengan hantu tetek ni.
Cari punya cari sehingga malam. Memang tak jumpa. Panggil pun tak menyahut. Akhir sekali waktu kami duk kecoh-kecoh mencari, tiba-tiba satu gulungan tikar terjatuh. Rupanya dia masuk dalam gulung tikar itu dan tidur di dalam tu. Adoi! Orang dah risau. Satu kampung dah cari dia. Nasib baik tak diculik dek hantu tetek. He he he…
Tapi, sepanjang cuti sekolah, walaupun kami dulu tak melancong ke mana-mana, tapi cuti tidak pernah membosankan. Banyak aktiviti yang kami lakukan. Setiap hari, permainan berbeza-beza.
Cuti sekolah juga adalah waktu untuk kami mengeratkan silaturahim dengan saudara-saudara kami. Kami mandi, main, makan, tidur, semuanya bersama. Itulah yang membuatkan hubungan kami terjalin erat. Mungkin kini agak berbeza. Sebab permainan budak-budak kini lebih banyak dengan gajet.
Tapi permainan dulu, datanglah berapa ramai orang sekalipun, pasti ada permainan yang boleh dimainkan bersama-sama. Itulah seronoknya cuti sekolah zaman kami dahulu. – Ambo, Kota Bharu, Kelantan.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

