Lelaki itu lebih mesra disapa sebagai Cikgu Zaid oleh penduduk Taman Jasmin di Kajang, Selangor. Dia duduk memerhatikan anak-anak Sekolah Kafa Integrasi Taman Jasmin yang sedang bermain-main. Dia tersenyum sendirian melihat telatah anak-anak yang boleh dianggap cucu baginya.
Kami menegur Cikgu Zaid. Dia tersenyum.
“Beruntung budak sekarang,” kata Cikgu Zaid.
“Kenapa cikgu?” soal kami.
“Nak dapat ilmu senang. Tak macam saya dulu,” balas Cikgu Zaid.
“Dulu kenapa?” soal kami lagi.
Cikgu Zaid mengenang kembali sewaktu zaman kanak-kanaknya dulu. Cerita Cikgu Zaid, waktu dia kecil serba-serbi susah. Bukan kata hanya pendidikan. Nak makan pun susah.
Ayahnya bekerja sebagai seorang penoreh getah. Orang kampung dahulu, semua tanam sendiri. Hendak makan nasi, kena tanam padi. Hendak makan ikan, kena cari di sungai. Setahun sekali sahaja boleh makan ayam dan daging. Itu pun bila tiba hari raya. Pendek kata, jarang sekali orang membeli beras di kedai. Semuanya tanam sendiri. Mereka ada sawah.
Tapi sewaktu zaman penaklukan Jepun, orang kampung tanam padi hanya untuk makan sendiri sahaja. Mereka tidak tanam secara besar-besaran. Sebab waktu itu, Jepun banyak mengambil hasil tanaman mereka. Tidak ramai yang berani turun ke sawah. Disebabkan itu ramai yang makan ubi kayu dengan ikan kering sahaja.

Selepas Jepun keluar, datang pula Bintang Tiga. Tapi mereka tidak lama. Lebih kurang dua minggu sahaja. Zaman Bintang Tiga ini, sekolah ditutup. Tak ramai yang berani keluar.
Dulu sekolah pondok dan Sekolah Melayu ada di kampung-kampung. Gurunya adalah mereka yang mempunyai pendidikan yang cemerlang tetapi tidak mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang seterusnya. Sekolah hanya sampai darjah enam sahaja.
Jarang sekali anak-anak muda kampung dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti LCE atau Senior Cambridge. Semua sekolah British. Sistem juga menggunakan sistem pelajaran dari British. Kalau peperiksaan Senior Cambridge, kertas peperiksaan akan disemak di luar negara.
Sesiapa yang ingin menyambung ke sekolah menengah, perlu melalui ujian SMC atau Special Malay Class dahulu. Lulus ujian barulah layak menyambung ke peringkat seterusnya. Seingat Cikgu Zaid, sewaktu dia menyambung pelajaran ke sekolah menengah King George V di Seremban, hanya tiga orang sahaja termasuk Cikgu Zaid yang layak. Dua orang lagi adalah anak cikgu dan anak pegawai kerajaan.
Kawan-kawannya yang lain berhenti sekolah hanya setakat darjah enam. Malah ada yang berhenti lebih awal. Mereka hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung sahaja. Faktor utama susah mendapat pendidikan waktu itu ialah kerana masalah kewangan. Tidak ramai ibu bapa yang mampu menghantar anak mereka ke sekolah.
“Dulu nak ke sekolah susah. Bukan macam sekarang ni,” kata Cikgu Zaid dan menyambung ceritanya.
Kalau dulu, pukul 5.00 pagi Cikgu Zaid sudah mempersiapkan diri. Mandi dan solat Subuh. Kuak pintu rumah, tak nampak apa-apa. Masih gelap gelita. Lampu suluh tak ada. Semua main agak-agak sahaja sebab tidak nampak. Ambil basikal buruk pemberian ayah dan kayuh pergi ke pekan Rembau.
Jarak rumah Cikgu Zaid ke pekan lebih kurang lima kilometer. Terpaksa meredah dalam gelap tanpa sedikit pun bantuan cahaya. Waktu itu jalan tanah merah. Kalau hujan, jalan becak dan lecah. Salah kayuh, memang jatuh. Tapi disebabkan sudah hari-hari melalui jalan itu, Cikgu Zaid sudah arif selok-beloknya. Dia tahu mana hendak elak lubang atau bonggol.
Lebih kurang pukul 6.00 pagi, sampailah dia di pekan. Basikal akan di parkir di sebuah kedai Apek yang membuka kedai runcit. Di situ selamat. Selepas itu dia bergegas menaiki bas pula untuk ke Seremban. Jarak dari pekan Rembau ke Seremban lebih kurang 20 kilometer. Jalannya pula bukan cantik macam sekarang.

Bayangkanlah macam mana pengorbanan orang dulu-dulu sebelum merdeka untuk menuntut ilmu. Tidak ramai anak muda ketika itu yang berpendidikan tinggi, terutamanya orang Melayu. Kalau pun mereka berpotensi, kekangan utama ialah masalah kewangan. Disebabkan itulah zaman sebelum merdeka, ramai anak muda yang tercicir dalam pelajaran.
Sejak kecil mereka diajar supaya membantu ayah dan ibu untuk mencari rezeki. Ada yang dipaksa mencari kelapa, menoreh getah, menjual kuih, demi untuk mencari wang untuk belajar. Adakah semua ini dirasai oleh anak-anak zaman kini?
Selepas merdeka, kerajaan mula menekankan aspek pendidikan kepada anak muda. Kejayaan terbesar pendidikan negara ialah apabila Tun Razak memperkenalkan sekolah berasrama penuh. Waktu inilah negara mula melahirkan generasi anak muda Melayu yang berjaya.
Anak muda yang berpotensi akan dimasukkan ke sekolah asrama penuh secara percuma. Mereka juga diberikan asrama dan makanan percuma. Tujuan utama Tun Razak adalah untuk menyediakan makanan yang berzat kepada anak muda supaya mereka boleh belajar dengan baik.
Kalau berada di kampung, makanan yang mereka makan sekadar untuk mengisi perut sahaja. Tapi di sekolah ini, mereka diberikan makanan yang sihat supaya mereka juga membesar dengan sihat.
Cikgu Zaid tersenyum. Semua ini adalah hasil kemerdekaan. Anak muda mula mendapat pendidikan yang baik. Tidak lagi susah seperti zaman yang dia lalui. Kini semuanya lebih mudah. Mahu dan atau tidak sahaja. Segala-galanya kerajaan telah sediakan.
Cikgu Zaid tahu, kemerdekaan bukan hanya kita mengangkat senjata, kemerdekaan juga perlu lahir daripada jiwa dan minda. Jika tahap intelektual penduduk tidak hebat, maka tiada makna kemerdekaan tersebut. Menuntut kemerdekaan memang sukar, tapi untuk mengekalkan kemerdekaan ini lagi susah. Disebabkan itulah perlunya negara melahirkan generasi yang bijak pandai.
“Tengok sekarang, berapa ramai orang Melayu kita berjaya? Berapa maju negara kita? Macam mana kita bina dengan semua bangsa yang ada di Malaysia bersatu. Inilah hasil kemerdekaan kita,” kata Cikgu Zaid.
Tapi…
Semua itu perlu di isi dengan ilmu. Ilmu sangat penting. Orang yang berilmu akan berjaya. Cikgu Zaid tidak mahu generasi kini merasai perit jerih yang dilaluinya dahulu. Terpaksa berjalan jauh demi untuk mencari ilmu. Sekarang kita negara merdeka. Tidak perlu lagi kita kembali ke zaman itu.
Disebabkan itulah pada tahun 2000, Cikgu Zahid sanggup menghabiskan wang puluhan ribu demi membina Sekolah Kafa Integrasi Taman Jasmin. Sepanjang 36 tahun Cikgu Zaid mengabdikan diri dalam bidang pendidikan demi untuk mendidik anak bangsa. Tapi tugas mendidik tidak boleh berhenti setakat di situ. Selagi masih bernafas, dia masih mahu berkongsi ilmu.
Waktu itu, Cikgu Zaid lihat anak-anak di kawasan tempat tinggalnya banyak membuang masa di waktu pagi sebelum ke sekolah. Kalau sekolah pagi, di sebelah petang pula mereka membazirkan masa tanpa aktiviti berfaedah.
Lalu Cikgu Zaid mengambil keputusan untuk membuat kelas agama di surau. Walaupun tidak sebesar mana, tapi cukup untuk anak-anak di kawasan itu belajar. Paling tidak, mereka tahu baca al-Fatihah pun sudah memadai. Masa mereka juga terisi dengan ilmu yang baik.
Cikgu Zaid berpegang kepada prinsip, ‘kalau anak saya baik, tapi berada dalam kalangan masyarakat yang tak baik, dia juga akan menjadi tak baik. Tapi kalau anak saya tak baik, duduk dalam masyarakat yang baik, dia juga akan menjadi baik’.
Disebabkan kawasan di surau tidak selesa, Cikgu Zaid sanggup mengeluarkan semua simpanannya untuk menyediakan dua buah bilik darjah yang sempurna. Tahun keduanya ditambahnya lagi, dan seterusnya sehingga terbinanya Sekolah Kafa Integrasi Taman Jasmin.
Bagi Cikgu Zaid, ilmu adalah sangat penting bagi generasi muda. Mereka inilah yang bakal mewarisi kemerdekaan pada masa hadapan. Mereka inilah bakal pemimpin yang akan mencorakkan pemerintahan negara nanti.
Syabas Cikgu Zaid. Semoga lebih ramai yang sanggup berkorban seperti Cikgu Zaid.
NOTA : Cikgu Zaid atau Haji Mohd Zaid Bin Hussien merupakan bekas pendidik. Dia juga pengasas dan juga pengurus Sekolah Kafa Intergrasi Taman Jasmin, Kajang, Selangor. Semua bangunan sekolah dibangunkan hasil wangnya sendiri demi untuk memberikan ilmu kepada anak-anak tempatan. Cikgu Zaid menceritakan pengalaman zaman sekolahnya sewaktu ditemubual Mastika dahulu.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

