Tidak adil kes gugur jadi modal pertikai pelantikan Musa

Dari Penulis

 APABILA berita Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 berkuatkuasa pada 1 Januari depan disiarkan, fikiran penulis terus teringat bagaimana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tidak dibenarkan memasuki Istana Negeri di Kota Kinabalu  pada 30 Julai 2020 ketika Negeri Di Bawah Bayu itu sedang dilanda krisis politik.

 Ketika itu Musa bersama 32 ADUN mahu bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin kerana mendakwa sudah cukup majoriti menubuhkan kerajaan. Bagaimanapun mereka dihalang berbuat demikian dan pada masa sama Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

 Musa yang merupakan Ketua Menteri paling berkhidmat iaitu bermula 2003 hingga 2018 sebelum itu berhadapan dengan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa  menghadapi pertuduhan itu pada 4 November 2018 dan 5 Mac 2019. Bagaimanapun pada 9 Jun 2020, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan beliau. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

  Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat empat tahun lalu. Sejak tarikh itu, Musa bagaikan dilupakan. Tiada sesiapapun memperkatakan mengenai beliau sehinggalah apabila Musa dilantik menggantikan Juhar sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah. 

 Pelantikan beliau dicadangkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Tidak kisah apapun tafsiran, andaian atau persoalan yang penting pemilihan Musa harus dihormati oleh semua pihak.

 Benar beliau pernah didakwa mahkamah tetapi mahkamah juga membuat keputusan membebaskan Musa selepas pihak pendakwaan memohon menggugurkan semua pertuduhan.

 Oleh itu seharusnya apabila Musa dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, semua pihak harus menghormati dan akur dengan pemilihan beliau. Kalau ada seorang dua pemimpin politik Sabah yang menjadi ‘musuh politik’ beliau mahu ‘menggelupur’ kerana pelantikan itu, biarlah mereka.

 Apa yang penting Musa ‘dibersihkan’ oleh Jabatan Peguam Negara manakala mahkamah melepaskan dan membebaskan beliau, bukannya melepaskan tanpa membebaskan seperti mana dalam kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram dihadapi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi .

 Jangan lupa juga tuduhan terhadap Musa digugurkan sebelum perkara dibawa ke peringkat perbicaraan manakala kes Ahmad Zahid pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

 Namun apapun kedua-dua kes itu adalah kuasa  Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.

 Justeru tidak perlu dipolemikkan apatah lagi mempolitikkan pemilihan Musa termasuk menuding jari mempersoalkan kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghalang pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah itu.

 Perlu diingat dalam keadaan apa sekalipun, kita harus membuat pertimbangan yang adil. Lagi pula Musa mempunyai jasa besar kepada negeri Sabah sepanjang menjadi Ketua Menteri. Selain menjadi ADUN Sungai Sibuga dari Februari 1994 hingga September 2020, abang kepada bekas Menteri Luar Negeri Datuk Seri Musa Aman ini pernah menabur bakti sebagai Menteri Negeri di Jabatan Ketua Menteri Sabah dari 1999 hingga 2001 dan Menteri Kewangan Negeri Sabah dari 2001 hingga Mei 2018.

 Pengalaman inilah yang seharusnya dipertimbangkan bukannya menjadikan  pertuduhan yang digugurkan di mahkamah sebagai modal untuk menafikan segala jasa dan bakti beliau kepada rakyat Sabah serta mempertikaikan pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri.

 Insha-Allah penulis percaya Musa akan mampu menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah dengan adil dan saksama kepada seluruh rakyat negeri itu termasuklah kelompok yang menghalang beliau memasuki Istana Negeri pada tahun 2020.

 Jadi tidak payahlah mempertikaikan, mempersoalkan apatah lagi mengecam pelantikan Musa. Rasanya ada lagi kes lain yang lebih  menarik melibatkan ahli politik dalam kerajaan kalau mahu diperkatakan bukannya memberi tumpuan kepada ahli politik yang sudah pencen seperti Musa. 

Siiapa sangka Musa yang dihalang masuk ke dalam Istana Negeri akan kembali ke situ sebagai Yang Dipertua Negeri menggantikan Juhar yang merupakan individu paling lama menduduki jawatan berkenaan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2024 tetapi inilah perjalanan kehidupan manusia yang disusun oleh Allah SWT.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hilang kawalan ketika memotong punca pegawai polis, guru maut di Lenggong

KENDERAAN hilang kawalan ketika cuba memotong dipercayai menjadi punca kemalangan maut meragut nyawa seorang pegawai polis dan seorang guru...

More Articles Like This