KERAJAAN Negeri Pulau Pinang mengecualikan 100 peratus tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak kepada semua pemilik tanah serta petak di negeri itu mulai 2 Januari hingga 28 Februari 2025.
Keputusan tersebut dicapai menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bersidang minggu lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat sama turut bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 50 peratus mulai 1 Mac hingga 31 Mei 2025.
Menurut beliau, kedua-dua insentif serta tawaran tersebut turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau petak yang telah menerima Notis Denda 6A untuk cukai tanah serta Notis Denda 11 bagi cukai petak.
“Walau bagaimanapun, tawaran pengecualian dan pengurangan tunggakan cukai tanah serta cukai petak dinyatakan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.
“Tawaran ini juga bukan berbentuk retrospektif serta tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan ini dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Chow Kon Yeow mula tugas secara rasmi

Secara keseluruhan, Kon Yeow memaklumkan, hasil semakan mendapati terdapat tunggakan denda lewat yang tinggi melibatkan 40,371 akaun cukai tanah dan 67,537 akaun untuk cukai petak di negeri itu berjumlah hampir RM40.1 juta.
Katanya, dikhuatiri tanah atau petak pemilik akan dilucut hak oleh pihak berkuasa negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada jika pemilik tidak membuat bayaran cukai tanah atau cukai petak dengan segera.
Umumnya, Kon Yeow berkata, insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan negeri itu bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai tanah serta cukai petak bagi tahun 2025 pada tempoh lebih awal.
Selain itu, beliau memaklumkan, ia juga bertujuan meringankan beban pemilik tanah dan petak yang memiliki tunggakan denda cukai tanah serta cukai petak tinggi akibat tunggakan tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.
“Justeru, menjadi harapan kerajaan negeri agar semua pemilik tanah dan pemilik petak di Pulau Pinang dapat mengambil peluang membuat bayaran masing-masing secepat mungkin mulai 2 Januari hingga 28 Februari bagi membolehkan mereka menikmati pengecualian tunggakan denda sebanyak 100 peratus.
“Pembayaran boleh dbuat menerusi kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah serta secara dalam talian melalui portal PgLAND secara sekali gus,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

