SEMUA pihak harus bersama-sama dalam menjunjung prinsip striving for excellence pada ketika Malaysia memulakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, prinsip striving for excellence bermakna semua pihak perlu berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan serta mengukuhkan perpaduan dalam negara.
Beliau berkata, sebelum melangkaui ke rantau dan pasaran antarabangsa, Malaysia perlu berada dalam keadaan lebih baik dengan pemantapan tatakelola di samping membanteras ketirisan dan rasuah.
Jika itu dapat ditangani, Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia akan memperoleh penghormatan sebagai negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab.
Menurut Anwar, kerumitan landskap global saat ini menuntut ASEAN untuk melakar peranan dan pengarahan baharu.
Jelasnya, menjadi tugas besar Malaysia tatkala memimpin ASEAN dengan mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
“Yakni membawa seluruh kekuatan yang ada, seluruh pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin supaya pembangunan ini terus mampan serta mengambil kira mengurangkan jurang perbedaan dan menangani permasalahan yang dihadapi kelompok tersisih atau miskin atau terpinggir.
“Jadi, inilah maksud kita supaya ASEAN menikmati dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan.
Baca artikel lain: Malaysia kini dilihat rakan strategik dihormati, sedia galas tanggungjawab rintis kebangkitan ASEAN – PM
“Inilah penghormatan besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baharu dalam agenda serantau serta global yang terus mencabar selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian, kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 yang turut disiarkan secara langsung di media tempatan.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 selepas empat kali sebelum ini pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sebagai tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, agenda kepengerusian Malaysia akan bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi Januari depan, diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).
Acara lain yang berkaitan termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, pada bulan Oktober.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

