EMPAT individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada malam ambang tahun baharu dipercayai telah mengambil pil jenis ecstasy.
Ia berdasarkan hasil siasatan awal pihak polis susulan kematian empat individu tersebut.
Selain empat individu tersebut, terdapat tiga lagi mangsa lain yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, sebanyak enam laporan polis telah diterima setakat ini daripada PPUM dan HKL.
Menurut Hussein, ketujuh-tujuh mangsa termasuk yang telah meninggal dunia itu tidak hadir bersama-sama di Konsert Pinkfish berkenaan.
“Mereka hadir secara berasingan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing.
“Daripada tujuh mangsa tersebut, empat daripada mereka telah meninggal dunia, dua lagi masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang telah dibenarkan keluar daripada hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, empat kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes mati mengejut susulan empat kematian tersebut.
Baca artikel lain: Empat maut selepas hadiri konsert tahun baru
Katanya, ia bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.
Buat masa ini, Hussein memberitahu, pihaknya masih menunggu hasil laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan punca kematian empat individu berkenaan.
“Sehingga kini, sebanyak enam percakapan saksi telah dirakam.
“Beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa,” katanya.
Terdahulu, Hussein mengesahkan telah menerima laporan berhubung kematian dua lelaki dan dua wanita warga tempatan yang menghadiri sebuah konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya, semalam.
Jelasnya, laporan polis membabitkan kesemua mangsa lingkungan usia 20 hingga 40 tahun itu dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Beliau berkata proses bedah siasat telah dijalankan namun pihaknya masih menunggu hasil siasatan makmal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

