POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjur himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin ini.
Menurut laporan Harian Metro Online, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed memaklumkan, permohonan itu ditolak kerana tidak lengkap.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan himpunan itu pada 31 Disember lalu.
“Selepas semakan dilakukan, permohonan berkenaan adalah tidak lengkap dan polis menolak kebenaran untuk tujuan himpunan.
“Pemakluman penolakan permohonan diberitahu kepada pihak penganjur semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Aidi Sham memaklumkan pihak polis membuat persediaan kawalan keselamatan dengan kekuatan 456 pegawai dan anggota polis.
Semalam, UMNO membuat keputusan tidak meneruskan Himpunan Solidariti Untuk Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin ini.
Baca artikel lain: Pas, NGO lain wajar batal hasrat sertai Himpunan Solidariti Najib
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menjunjung titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan tidak akan membelakangi Perlembagaan Persekutuan serta akan terus menghormati undang-undang negara.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

