PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sewajarnya membatalkan hasrat untuk menyertai himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan, ia sebagai menghormati titah yang dikeluarkan Istana Negara, semalam.
Menurut beliau, UMNO sebagai pihak yang terkesan langsung dengan kes Najib telah membatalkan hasrat menyertai himpunan berkenaan, maka parti lain juga seharusnya membuat keputusan yang sama.
“Ramai pemberita tanya pendirian saya mengenai pembatalan perhimpunan solidariti Najib, Isnin ini. Saya sokong kerana ia keputusan parti.
“UMNO parti yang mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Oleh itu, UMNO menerima nasihat Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO yakin pada ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong agar Najib mendapat keadilan penuh,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Pas tidak berhasrat untuk menyemak kembali seruan untuk mengadakan Himpunan Solidariti untuk Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin depan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, parti itu menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong itu berdasarkan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, kata beliau, Pas juga akur dan mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan, kehadiran ke Himpunan Solidariti untuk Najib itu tidak menyanggah mahu pun mengurangkan makna serta tujuan titah berkenaan mahu pun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan perjalanan Lembaga Pengampunan.
Baca artikel lain: Pas tak berhasrat tarik balik seruan, Himpunan Solidariti Najib tak sanggah titah Istana Negara
Semalam, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, parti itu akur kepada segala saranan titah Seri Paduka supaya menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Istana Negara dalam kenyataan menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Kuasa prerogatif itu terkandung mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.
Justeru, Istana Negara mengingatkan semua pihak untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

