KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan berhubung kes Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan ada pihak secara sengaja bertindak menyembunyikan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong dan mengkhianati prinsip berterus-terang (candour principle) yang sepatutnya dijunjung kerajaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, adalah tidak mungkin seorang Perdana Menteri tidak mengetahui kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, tegas beliau, Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuklah Titah Addendum.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan dan sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.
Baca artikel lain: Perakuan kesahihan Titah Adendum bukti kebenaran afidavit tambahan saya – Zahid Hamidi
Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.
Bagaimanapun Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel itu membantah, dan memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan bekas perdana menteri itu.
Hakim Azizah juga menolak permohonan Najib mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Adendum tersebut manakala Hakim Azhari dan Mohd Firuz membenarkannya.
Najib, 71, sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Titah Adendum itu yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh, memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Datuk Seri Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam mahkamah.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

