PROJEK Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula tetapi dengan penyertaan sepenuhnya pihak swasta.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, hari ini.
Lawrence berada di Malaysia sempena lawatan rasmi dua hari yang bermula semalam.
Menurut Anwar, projek HSR tersebut boleh berjalan menerusi penglibatan yang sangat minimum daripada pihak swasta.
Buat masa ini, kata beliau, kerajaan terpaksa menangguhkan beberapa projek mega untuk memberi tumpuan kepada isu-isu tertunggak.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta dan masih menunggu cadangan yang berpotensi.
“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta kerana kerajaan ada kekangannya, isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang.
“Jadi, projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen untuk menyelesaikan isu tertunggak.
“Kami masih menunggu penyertaan yang positif dan berpotensi daripada sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu…sudah ada beberapa cadangan dan pasukan petugas sedang menelitinya,” katanya.
Mengulas mengenai isu sama, Lawrence berkata, Kerajaan Singapura terbuka dengan sebarang cadangan baharu dari Malaysia.
Baca artikel lain: JS-SEZ inisiatif unik promosi Malaysia, Singapura – Anwar
Bagaimanapun, kata beliau, cadangan projek HSR tersebut pula bermula semula daripada awal.
Jelasnya, kesalinghubungan yang lebih meluas antara kedua-dua negara akan memberi nilai tambah kepada Malaysia dan Singapura.
“Berhubung HSR, malangnya kita tidak dapat meneruskan projek asal, namun Singapura sentiasa terbuka dengan cadangan baharu daripada Malaysia.
“Bagaimanapun, (projek itu) harus bermula dari awal semula, itu pendirian kami (Singapura).
“Bagi kami, hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara sentiasa menjadi kelebihan,” katanya.
Pada 12 Januari tahun lalu, media melaporkan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan untuk terbabit dalam projek HSR.
Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka telah memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.
Disember tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata Kabinet akan membuat keputusan sama ada untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura pada awal bulan ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kertas dasar mengenai projek itu, yang bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit, tidak akan menentukan sama ada projek itu benar-benar akan dihidupkan semula.
Katanya, ini kerana kerajaan masih perlu memulakan semula perbincangan dengan Singapura kerana HSR adalah projek rentas sempadan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

