2025 tahun hentikan sandiwara, tamatkan riwayat BRN!

Dari Penulis

 WILAYAH Selatan Thailand menutup tirai 2024 dengan mencatatkan 170 kejadian keganasan sepanjang tahun tersebut dengan menyaksikan berpuluh-puluh orang awam dan pegawai kerajaan terbunuh atau cedera.

 Memetik laporan media, statistik itu tidak termasuk bagaimana pelbagai infrastruktur awam dirosakkan akibat keganasan tersebut sehingga menjejaskan kehidupan penduduk yang majoritinya beragama Islam.

 Atas sebab itulah fajar 2025 yang mula menyingsing kira-kira seminggu lalu, setakat ini tidak memperlihatkan apa-apa harapan bahawa konflik selama 21 tahun di wilayah itu akan berakhir.

Ia bukan kerana penduduk Islam tidak mahu hidup damai, ia bukan disebabkan penduduk Islam memusuhi pemerintah Thailand malah bukan kerana pemerintah Thailand menganiaya penduduk Islam  tetapi ia berpunca daripada pengkhianatan dan ketidakjujuran puak pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam proses rundingan damai yang dijalankan sejak 11 tahun lalu.

Maknanya selagi BRN terus hidup, selagi BRN terus diberi layanana Istimewa atas alasan mereka mewakili penduduk Islam, selagi itulah wilayah Selatan Thailand mungkin tidak akan merasai kembali nikmat kedamaian sehingga dunia kiamat.

 Oleh itu tahun 2025 tidak boleh lagi dijadikan tahun untuk melayan kerenah BRN kerana sudah terbukti mereka hanya bersandiwara untuk membela penduduk Islam apatah lagi mahu mewujudkan kedamaian di Selatan Thailand yang merangkumi wilayah Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla.

 Sebaliknya tahun 2025 perlu dijadikan gelanggang untuk ‘menamatkan riwayat’ BRN dengan menghentikan sebarang usaha berunding dengan kelompok tersebut yang boleh dianggap punca sebenar keganasan berterusan di wilayah-wilayah berkenaan.

 Kalau BRN benar-benar berpengaruh, kuat dan mendapat sokongan rakyat sudah pasti konflik tidak akan berlanjutan sehingga 21 tahun bermula sejak Januari 2004, kalau benarlah mereka jujur dan ikhlas tidak mungkin proses rundingan damai boleh berterusan sehingga 11 tahun tanpa ada apa-apa hasil.

  Tak kan pemerintah Thailand mahu membiarkan masalah ini bersambung ke tahun 2025 dengan melayan kerenah BRN sehingga mengakibatkan banyak masa, tenaga dan wang dihabiskan untuk proses sia-sia itu?

 Kenapa perlu membiarkan BRN terus menjadikan nyawa penduduk Islam dan empat wilayah di Selatan Thailand sebagai taruhan atau mungkin  ‘barang gadaian’ untuk pemimpin puak pemisah tersebut hidup senang lenang dengan memperalatkan proses rundingan damai?

 Sudah berkali-kali mesyuarat diadakan, sudah berbelas-belas perjumpaan dibuat melibatkan a BRN dengan pemerintah Thailand dan Malaysia sebagai Fasilitator tetapi apa hasilnya? Kenapa  sejak tercetusnya konflik di wilayah itu pada tahun 2004, media melaporkan lebih 7,000 orang terbunuh manakala lebih 13,600 cedera?

 Apakah ini dianggap hasil rundingan dengan BRN? Adakah ini boleh ditafsirkan sebagai kemajuan positif atau menunjukkan komitmen BRN mahu berdamai? Kalau benarlah mereka ada komitmen tersebut sudah lama wilayah itu mengecapi kedamaian dan umat Islam tidak akan hidup dalam ketakutan.

Anggota keselamatan Thailand diserang oleh puak pemisah BRN ketika dia sedang bertugas mengawal lalu lintas di sebuah sekolah di Selatan Thailand.

 Tetapi lihat apa yang berlaku hari ini, kajilah laporan media di negara itu yang menyatakan dalam tempoh tiga bulan terakhir 2024 iaitu bermula pada Oktober, terdapat 33 kejadian tembakan, letupan bom, membakar harta benda dan pembunuhan yang mengakibatkan sembilan orang terkorban.

Yang paling malang turut menjadi mangsa atau sasaran ialah orang awam khususnya mereka yang berkhidmat dengan pemerintah Thailand.  Semua keganasan ini dilakukan oleh BRN dan ia sudah pasti sama sekali tidak mendapat restu penduduk Islam yang mahu hidup aman damai. 

 Dalam mencapai agenda peribadi dan mahu memperolehi dana NGO antarabangsa bagi membolehkan mereka hidup mewah, pemimpin BRN  sanggup berbohong dan membuat tohmahan kononnya penduduk Islam ditindas bukan sahaja di Selatan Thailand malah di negara itu.

Hakikatnya, penduduk Islam tidak ditindas sebaliknya mereka boleh menjalani kehidupan seperti warganegara Thailand yang lain. Sebagai contoh, di Ramkhamhaeng , Bangkok.

 Di kawasan itu penduduknya majoriti beragama Islam dan datang dari Selatan Thailand, mereka memonopoli kegiatan ekonomi di situ tanpa sebarang halangan atau sekatan oleh pemerintah negara itu. 

 Lebih menarik ada hotel mewah seperti Hotel Almeroz di Suang Luang milik orang Islam. Selain itu mengikut statistik  Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) pada tahun 2022, di negara itu terdapat 3,464 buah masjid, sebahagian besar di Selatan Thailand manakala di Bangkok sahaja terdapat 170 buah masjid. Oleh itu atas dasar apa BRN melemparkan fitnah mendakwa umat Islam di negara itu khususnya di Selatan Thailand ditindas? 

Suasana ketika umat Islam Thailand menunaikan solat fadhu Jumaat di Masjid Jamiul Islam, di Ramkhamhaeng, Bangkok baru-baru ini.

 Ketika berbual-bual dengan anak-anak muda  yang menuntut di beberapa universiti di Bangkok termasuk Universiti Ramkhamhaeng, mereka ternyata sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku di Selatan Thailand – daerah asal mereka.

Apa yang mereka inginkan wilayah itu aman, damai dan makmur bukannya terus dibelenggu keganasan serta berada dalam konflik angkara puak pemisah seperti BRN.

 Mereka memahami pemerintah Thailand sudah berusaha sebaik mungkin untuk menamatkan konflik di wilayah berkenaan termasuklah mengadakan rundingan dengan BRN, tetapi semuanya tidak berjaya. Sebab itulah mereka percaya, selagi BRN wujud, selagi itulah Selatan Thailand tidak akan aman. 

Benar,  apa yang mereka katakan kerana BRN bukan sahaja meragut kedamaian di tetapi juga ‘menjahanamkan’ sosioekonomi serta infastruktur di wilayah itu. Walaupun pemerintah Thailand berusaha mengawal keadaan demi kesejahteraan penduduk Islam namun BRN terus menjadi ‘makhluk perosak’ menggagalkan segala usaha dilakukan.

 Atas sebab itulah  anak muda Selatan Thailand menyifatkan BRN sebagai melampau kerana bukan sahaja membunuh orang Islam tetapi  juga merosakkan Infrastruktur seperti menara pemancar telekomunikasi dan  memusnahkan hartabenda kerajaan seperti tiang elektrik yang menjejaskan kehidupan masyarakat.

Merosakkan menara  telekomunikasi dan tiang elektrik bukan soal kecil kerana ia memberi kesan kepada kehidupan penduduk Islam kerana hubungan komunikasi mereka dengan ahli keluarga terjejas dan ramai peniaga rugi besar apabila bekalan elektrik terputus. Dengan pelbagai keganasan yang dilakukan dan kejahatan dilaksanakan, masih layakkah BRN dijemput ke meja rundingan? Masih layakkah mereka dianggap sebagai pejuang untuk penduduk Islam?

 Satu lagi persoalan  adakah wakil BRN ke proses rundingan damai benar-benar membawa suara puak pemisah itu? Kalau benar, kenapa keganasan masih berterusan? Kenapa semasa perundingan tengah berjalan tembakan dan serangan bom tetap juga berlaku?

 Penulis melontar pertanyaan ini kerana khabarnya dalaman  BRN sendiri sedang berkeceramuk dan berpecah kepada beberapa kelompok kerana perebutan untuk menjadi wakil ke meja rundingan khususnya melibatkan biro politik dan militer.

Ketika ini dikatakan, wakil BRN hanya diwakili oleh Biro Politik daripada satu wilayah sahaja manakala tiada wakil daripada cabang militer. Ia juga menjadi penyebab proses damai gagal.   Apa yang berlaku itu menunjukkan betapa lemahnya BRN dan membuktikan sebarang usaha untuk mengadakan rundingan dengan mereka hanyalah perbuatan sia-sia kerana mereka berpecah belah.

 Oleh itu tahun 2025 bukanlah tahun untuk berunding dengan BRN apatah lagi melayan perasaan hebat pemimpin BRN kononnya merekalah penentu masa depan kedamaian di Selatan Thailand.

Sebaliknya demi masa depan Selatan Thailand khususnya kesejahteraan umat Islam di wilayah itu, sandiwara dan propaganda BRN harus dihentikan seterusnya riwayat BRN harus  ditamatkan.  Tutup sahaja pintu rundingan dengan puak tersebut dan sebagai  pemerintah yang sah, kerajaan Thailand  boleh menggunakan segala peruntukan undang-undang dan Perlembagaan bagi menamatkan konflik di wilayah berkenaan.

Apapun penulis yakin walaupun belum sampai enam bulan menjadi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra pasti mempunyai strategi bagaimana mahu melayani kerenah BRN. Yang pasti cukuplah selama 21 tahun penduduk wilayah itu sengsara angkara BRN, biarlah tahun 2025 pemimpin BRN pula merasai kesengsaraan akibat perbuatan mereka sendiri. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This