Kerajaan MADANI sentiasa berusaha menyelesaikan masalah pelabur – PM Anwar

Dari Penulis

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memudah cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah yang dihadapi pelabur.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perkara itu dinyatakan semasa beliau menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Micron Technology Inc. (Micron) Datuk Sanjay Mehrotra.

“Kami telah bertukar pandangan mengenai keperluan-keperluan utama dalam pembangunan industri semikonduktor di Malaysia.

“Turut disentuh ialah kepentingan pembangunan bakat tempatan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kelancaran operasi kilang-kilang berteknologi tinggi di Malaysia,” kata Anwar.

Micron adalah sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dan merupakan peneraju dalam penyelesaian memori inovatif yang mengubah cara dunia menggunakan maklumat.

Perdana Menteri berkata Malaysia kini pada kedudukan amat strategik dalam ekosistem semikonduktor dan kecerdasan buatan global.

Beliau berkata justeru, bagi mengukuhkan daya tarikan negara dalam pelbagai sektor ekonomi, usaha giat dilaksanakan seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.

Dalam hantaran berasingan, Anwar memaklumkan telah menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) diketuai Presidennya Datuk Mohammad Sahar Mat Din.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu, beliau dan DPIM sempat membincangkan beberapa cadangan terkait inisiatif pembangunan ekonomi mencakupi konsep wakaf dan penggunaan kecerdasan buatan.

“Saya hargai cadangan dikemukakan DPIM yang selari dengan hasrat kerajaan supaya Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 mendapat suntikan idea bernas dan sokongan pelaksanaan daripada pemain industri seperti dewan-dewan perniagaan dan perdagangan,” katanya.
— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sultan Selangor hargai kesinambungan pentadbiran jayakan LRT3

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta...

More Articles Like This