PENGARAH urusan sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegagalan menerbangkan jemaah umrah ke Mekah semalam.
Lelaki terbabit ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Selangor pada jam 6.45 petang tadi, selepas dia selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama jemaah yang terjejas dalam insiden itu.
Difahamkan penahanan terbabit susulan laporan polis dibuat oleh jemaah semalam, yang menuntut penjelasan terhadap kegagalan penerbangan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan tersebut dan polis turut merampas dokumen berkaitan ketika serbuan di pejabat urusan syarikat itu di Sepang petang tadi, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu sidang media yang bermula tenang, bertukar kecoh dan tegang apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan agensi umrah terbabit. Kebanyakan jemaah menuntut dibayar wang pampasan segera.
Bagaimanapun peguam yang mewakili syarikat itu ketika sidang media itu berlangsung, memaklumkan syarikat akan membuat surat aku janji (letter of undertaking) yang menawarkan tiga penyelesaian.
Antara penyelesaian yang ditawarkan ialah pemulangan wang 100 peratus yang akan dibuat dalam tempoh di antara tiga hingga empat minggu.
Bagi jemaah yang masih ingin meneruskan ibadah umrah, syarikat itu akan membuat penjadualan semula tiket penerbangan serta pemberian wang RM5,000 sebagai kos bayaran penginapan jemaah sepanjang tempoh terkandas ini.

