SEORANG lelaki di bawah pengaruh dadah ditahan selepas terlibat dalam aksi kejar-mengejar dengan polis sejauh empat kilometer di Johor Bahru, 11.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sepasukan anggota polis dari unit kereta peronda peronda (MPV) yang sedang menjalankan tugas Op Cegah Jenayah di Jalan Austin 3 telah mengesan sebuah kereta Honda Accord berwarna merah dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, suspek telah bertindak melarikan diri dengan memandu secara melulu apabila diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan.
“Suspek telah memandu secara zig-zag dan membahayakan pengguna jalan sepanjang Jalan Mutiara Emas putih, Jalan Bertam 2/3 hingga Jalan Puspakom, Taman Daya menuju ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Tindakan suspek telah menyebabkan berlakunya kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan awam terdiri daripada sebuah kereta Mazda 3 berdaftar di Singapura, Proton Saga dan Peugeot 408,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Jelasnya, kemalangan tersebut juga telah menyebabkan seorang pemandu tempatan berusia 30 tahun cedera ringan di siku kanan dan menerima rawatan di sebuah klinik swasta.
Manakala suspek dan pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mengulas lanjut, suspek seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian selepas Accord yang dipandu mengalami kerosakan dan tidak dapat bergerak.
“Pemeriksaan telah menemui dadah seperti syabu seberat 12.99 gram , heroin seberat 13.59 gram, tiga biji pil yaba dan dua biji pil erimin 5.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya.
Pemeriksaan ke atas Accord mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan telah tamat tempoh dan suspek juga tidak mempunyai lesen memandu.
Jelasnya, suspek juga telah melanggar dan merosakkan palang keselamatan sebuah pangsapuri awam di kawasan Mount Austin ketika melarikan diri.
Semakan mendapati suspek berstatus penganggur dan mempunyai 16 rekod jenayah serta dadah di bawah Seksyen 411/ 379A/395 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya.
Raub berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(a)/ 108(3)(e) / 26(1) / 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 / 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) / 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

