NEGARA anggota ASEAN menumpu untuk mengukuhkan asas ekonomi, kerjasama dan meningkatkan perdagangan sesama anggota, yang mana pada 2023, mencatatkan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM16.85 trilion (AS$3.8 trilion).
“Kami sudah berjaya pada masa lalu dari segi diplomasi geopolitik.
“Bagaimanapun, kami menyedari bahawa kami perlu meningkatkan perdagangan sesama ASEAN dan berusaha untuk melengkapkan kelebihan daya saing antara satu sama lain,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau menegaskan asas ekonomi, dari segi perdagangan dan pelaburan, adalah penting, dan begitu juga bagaimana cara blok 10 anggota itu berunding dengan negara lain di rantau ini.
Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN berkata demikian semasa dialog eksklusif khas bersemuka dengan kepimpinan forum bertajuk “A Conversation with Anwar Ibrahim” yang dimudahcarakan oleh pengasas dan pengerusi lembaga pemegang amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF) Prof Klaus Schwab.
Baca artikel lain: Najib anggap surat derma daripada Arab Saudi tulen
“Tetapi sama ada kita mahu menjadi seperti Kesatuan Eropah (EU); seperti mempunyai mata wang bersama), adalah sesuatu yang belum kita teroka,” kata beliau ketika ditanya sama ada ASEAN mahu menjadi kumpulan yang serupa seperti EU, dengan pengaturan mata wang bersama.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau tidak terlalu mengambil berat mengenai struktur politik EU.
“Kami lebih mementingkan kepada kerjasama ekonomi, daripada pemahaman dan perbualan saya bersama pemimpin ASEAN lain dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei, kepentingan utama kami adalah untuk menumpu kepada asas ekonomi,” kata beliau.
Menurut laporan ASEAN Statistical Brief, dari 2003 hingga 2023, jumlah perdagangan barangan ASEAN dengan rakan serantau dan luaran mencatatkan pertumbuhan yang ketara.
Pada 2003, jumlah perdagangan ASEAN bernilai RM3.8 trilion (AS$871.8 bilion). Angka ini meningkat kepada RM11.0 trilion (AS$2.53 trilion) pada 2013 dan RM15.5 trilion (AS$3.56 trilion) pada 2023.
Perdagangan sesama ASEAN menyumbang kira-kira 22 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN semasa tempoh ini.
Anwar berada di sini sempena lawatan kerja selama tiga hari bagi menghadiri WEF 2025, menandakan kehadiran pertama beliau sejak memegang jawatan perdana menteri pada 2022.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

