KERAJAAN tidak perlu khuatir dengan suara dan ekspresi anak-anak muda terutama golongan mahasiswa susulan satu himpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadual berlangsung Sabtu ini.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim meminta kerajaan supaya memberi ruang kepada anak-anak muda menyempurnakan peranan mereka pada zaman ini.
Dalam hantaran di platform X, Adam Adli yang sebelum ini dikenali sebagai ‘kaki demonstrasi’ menegaskan, kerajaan seharusnya menghargai sikap kritikal yang dizahirkan oleh golongan muda.
Malah, kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam banyak ucapannya sendiri sentiasa menekankan kemahuan untuk melihat anak muda yang berkobar-kobar dalam menegakkan keadilan serta melawan rasuah.
“Jangan hanya kerana mereka tidak memuji kita, dianggap mereka memusuhi kita.
“Anak-anak muda ini sedang membentuk fikrah dan tekad dalam melawan kebobrokan serta barah rasuah dalam negara; ini adalah suatu yang harus kita pandang tinggi.
“Ini cita-cita yang sama diangkat oleh MADANI,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Nama baik Kerajaan MADANI buruk jika tekan hak rakyat berhimpun
Kita tidak perlu khuatir dengan suara dan ekspresi anak-anak mahasiswa kita hari ini. Jangan hanya kerana mereka tidak memuji kita, dianggap mereka memusuhi kita.
— Adam Adli (@AdamAdli) January 22, 2025
Kita harus menghargai sikap kritikal yang dizahirkan oleh mereka. Anak-anak muda ini sedang membentuk fikrah dan…
Mengulas lanjut, Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut menaruh keyakinan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempunyai kewajipan untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan undang-undang di bawah seliannya.
Namun begitu, katanya, kerajaan dan pihak berkuasa sudah pasti mempunyai budi bicara untuk memberi peluang kepada perhimpunan tersebut berlangsung.
“Semoga aksi yang direncana berjalan aman, lancar dan terkawal sesuai hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin oleh hukum dan Perlembagaan kita,” katanya.
Adam Adli ketika menjadi mahasiswa sebelum ini pernah terlibat dengan banyak siri demonstrasi dan himpunan.
Sebelum ini, Saifuddin Nasution mengingatkan pihak penganjur perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini, agar mematuhi setiap peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata aspek pematuhan tersebut meliputi tanggungjawab peserta, penganjur perhimpunan dan pihak polis.
Media sebelum ini melaporkan bahawa satu perhimpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadual berlangsung pada 25 Januari.
Perhimpunan tersebut dikatakan susulan kepada perhimpunan Ambang Tahun Baru yang diadakan di Sabah baru-baru ini, yang dianjurkan oleh golongan pelajar untuk membantah ahli politik negeri yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah.
Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal bagi memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dapat dilaksanakan dengan teratur, tanpa mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman pula mengesahkan telah menerima notis pemberitahuan bagi penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu.
Namun begitu, katanya, semakan yang dibuat mendapati notis pemberitahuan perhimpunan itu tidak lengkap dengan tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

