DUA isu dibangkitkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) untuk dipertimbangkan oleh kerajaan termasuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.
Ia disenarai PeSAWAH melalui memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini, dengan satu lagi isu membabitkan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Ahmad berkata, harga lantai padi yang diperkenalkan sejak 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan dengan keadaan semasa berikutan kenaikan diesel dan benih.
Menurutnya, kos benih padi juga naik dua kali ganda sejak 2023 dan terkini kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) daripada berbanding RM45 sebelum ini.
“Peningkatan kos membajak dan menuai juga meningkat disebabkan penghapusan subsidi diesel sehingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi dikenakan pemilik mesin kerana tidak menerima ‘fleet card’ diesel.
“Selain itu, kos sewa tanah, kos racun dan kos upah penyelenggaraan sawah turut meningkat dengan berbeza harga mengikut negeri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman yang berkemungkinan dibentangkan di Parlimen dalam sesi akan datang, katanya pihaknya membantah kerana ia dibuat tanpa sebarang perundingan dengan petani.
Beliau berkata, RUU itu mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperoleh lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.
“Berikutan peningkatan kos bersawah, kelewatan bekalan benih yang sering berlaku dan kemerosotan kualiti benih padi sah, hampir 30 peratus pesawah sudah mula memproses dan menjual benih padi dari sawah sendiri bagi menjimatkan kos.
Baca artikel lain: Isu pindah tanah: Selangor mungkin laksana audit, siasatan dalaman semua agensi
“PeSAWAH menyeru kerajaan memberi perhatian serius kepada isu ini bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan pesawah terjamin, “katanya.
Pada 18 November lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melalui sesi soal jawab kamar khas Parlimen menyatakan Jabatan Pertanian telah menjalankan satu siri taklimat dan melaksanakan Analisis Impak Peraturan (RIA) berkenaan RUU Kualiti Benih Tanaman di mana setiap individu yang memproses dan mengedar benih akan diwajibkan memohon lesen.
Terdahulu, Abdul Rashid mengetuai 10 wakil PeSAWAh menyerahkan memorandum berkenaan. Mereka dilihat masuk ke bangunan kementerian jam 10 pagi sebelum keluar semula kira-kira sejam kemudian.
Kira-kira 300 ahli PeSAWAH turut berhimpun di luar lobi KPKM bagi memberikan sokongan.
Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Sementara itu, Ming Kai berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan wakil PeSAWAH kira-kira sejam bagi membincangkan perkara itu.
Katanya, beliau sudah menerima memorandum berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Memorandum itu juga akan disampaikan kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan, “katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

