KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan sejumlah RM1.084 bilion kepada perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sarawak sepanjang tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick memaklumkan, pembiayaan itu telah memberikan manfaat kepada 42,689 usahawan PMKS dan koperasi di Sarawak.
Menurut beliau, jumlah tersebut merupakan peningkatan berbanding pembiayaan sebanyak RM731.205 juta kepada 42,006 usahawan di Sarawak pada tahun 2023.
Justeru, Ewon menaruh keyakinan jumlah pembiayaan itu akan terus meningkat tahun ini susulan kerancakan pembangunan ekonomi di Sarawak.
“Pembiayaan itu disalurkan melalui tujuh agensi di bawah KUSKOP iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Saya amat yakin kita boleh menambah lagi pembiayaan yang diperlukan oleh usahawan-usahawan PMKS dan koperasi di Sarawak di bawah inisiatif Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara kita.
“Dasar ini membolehkan kementerian memberi fokus tambahan kepada pembangunan usahawan dan koperasi di Sarawak serta Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis peluncuran Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 di Gedong, Sarawak yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ewon berkata, antara geran pembiayaan yang disediakan untuk usahawan PMKS ialah geran khas usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak, Premis Tamu Desa dan Program Digital Desa Bank Rakyat.
Baca artikel lain: KUSKOP teliti cadangan wujudkan Hab Keusahawanan Bazaar di Sandakan
Terdahulu ketika berucap Ewon berkata, Program Digital Desa Bank Rakyat merupakan inisiatif Bank Rakyat membawa perkhidmatan perbankan digital dan perkhidmatan digital lain kepada rakyat di luar bandar.
“Sejak kunjungan hormat pertama saya kepada Premier Sarawak pada awal 2023 sebaik diberi amanah di kementerian ini, saya telah menyatakan tanpa mengurangkan fokus sedia ada di kementerian seluruh negara, saya mahu memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Dengan kerjasama penuh kerajaan Sarawak, banyak inisiatif kita laksanakan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata melalui Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, kementerian memberi fokus tambahan di wilayah Borneo antaranya melantik Ahli Lembaga Pengarah dari negeri Sarawak untuk menganggotai lima agensi di bawah KUSKOP bagi memastikan perkhidmatan kementerian dan agensi-agensi itu dapat mencakupi keperluan di Sarawak.
Selain itu katanya, KUSKOP buat pertama kali pada tahun lepas melaksanakan projek premis Tamu Desa khusus untuk Sabah dan Sarawak.
“Setakat ini sebanyak 39 tapak melibatkan peruntukan RM7.6 juta telah dibina dan dinaik taraf di Sarawak.
“Manakala di bawah geran khas usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang juga diperkenalkan buat pertama kali oleh KUSKOP sebanyak 50 usahawan Sarawak menerima geran melibatkan peruntukan sebanyak RM4.91 juta.
“Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah membuka pejabat perkhidmatannya di Sarawak pada tahun 2023,” katanya.
Ewon mengulangi komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama antara KUSKOP bekerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak bagi membangunkan gerakan keusahawanan dan koperasi di negeri ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

