Ewon Benedick letak jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KHABAR angin yang tersebar mengenai kedudukan Datuk Ewon Benedick dalam barisan Jemaah Menteri Persekutuan akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan sendiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Ewon memaklumkan, beliau akan mengutuskan surat kepada Perdana Menteri berhubung peletakan jawatannya itu.

“Dengan ini, saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah.

“Saya akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin minggu depan untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas hala tuju parti UPKO,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, Ewon dilapor menghadiri majlis perpisahan anjuran kakitangan kementeriannya di Putrajaya.

Dalam perjumpaan dengan warga dan agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Temerloh minggu lalu pula, Ahli Parlimen Penampang itu dipetik berkata, ia ‘mungkin ucapan terakhir saya sebagai Menteri KUSKOP dan terima kasih kepada semua yang berkhidmat di kementerian. Saya amat pasti saya akan balik untuk berkhidmat di Sabah. Kalau jumpa mana-mana boleh lagi tegur’.

Media sebelum ini melaporkan Ewon bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet jika Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.

Baca artikel lain: Ewon masih menteri, Anwar belum terima notis peletakan jawatan

Dalam ucapan penggulungannya pada konvensyen UPKO Penampang baru-baru ini, beliau menyatakan sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri serta dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri lain mengenai pendiriannya.

Mengulas mengenai peletakan jawatannya, Ewon berkata, sangat janggal untuk meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan berdasarkan pendirian dan pandangan dinyatakan AGC seperti mana dinyatakan dalam penghakiman bertulis.

Menurut beliau, AGC antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia seperti mana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.

Ewon menegaskan tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC, malah pendekatan melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun beliau berada dalam Jemaah Menteri sangat bertentangan dengan pendiriannya sebagai Presiden UPKO.

Sebagai Presiden UPKO, beliau menegaskan ingin melihat hak Sabah itu dilaksanakan.

“Saya kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut.

“Saya telah mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tersebut dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.

“Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan. Namun, berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di mahkamah seperti mana dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos. Setiausaha...

More Articles Like This