Pasangan kekasih bebas pertuduhan miliki, edar dadah

Dari Penulis

SEPASANG kekasih terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Johor Bharu hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan memiliki dan mengedar 248.68 gram dadah, lima tahun lepas.

Hakim Noor Hayati Che Mat mengarahkan Teng Wei Xiong, 27, dan Chai Ying, 22, dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Terdapat percanggahan keterangan yang menjejaskan nilai keterangan saksi SP3 (saksi pendakwaan) dan SD5 (saksi pembelaan), percanggahan ini harus memihak kepada pendakwaan.

“Oleh yang demikian, dengan wujudnya keraguan dan percanggahan di atas, maka setelah membuat penilaian secara maksimum, saya dapati pembelaan berjaya mengakas anggapan di bawah Seksyen 37(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata Noor Hayati.

Bagi pertuduhan pertama, Teng dan Chai didakwa mengedar 112 gram methamphetamine mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 121.23 gram mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan maksimum 10 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 15.45 gram di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A(1) akta sama dan dibaca sekali di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Jalan Rusa 3, Johor Bharu, pada 9 malam, 5 Mei 2020. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juliana Jaafar.

Teng diwakili peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia Hasni Yusoff manakala peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying mewakili Chai. Pihak pendakwaan telah mengemukakan sembilan saksi manakala tujuh saksi oleh pihak pembelaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This