MARA perluas warden bekas tentera ke semua MRSM – Asyraf Wajdi

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di semua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan keberkesanan inisiatif itu dalam mengurangkan masalah disiplin dan hampir mengekang sepenuhnya kes buli di institusi berkenaan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan kajian keberkesanan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

Beliau berkata, laporan kajian yang disediakan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menunjukkan impak positif terhadap aspek disiplin, keselamatan dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Dapatan kajian menunjukkan warden bekas tentera berkesan dalam mengawal disiplin serta keselamatan fizikal asrama selain mendapat penerimaan baik daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.

“Kehadiran mereka secara konsisten dan sistematik juga berjaya meminimumkan ruang berlakunya kejadian buli serta vandalisme di asrama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, pelajar yang ditempatkan di MRSM terbabit turut menunjukkan perubahan positif apabila lebih berdisiplin, menepati masa, menjaga kekemasan diri dan asrama serta mengamalkan nilai hormat dan adab yang lebih baik.

Katanya, penglibatan aktif warden dalam aktiviti keagamaan turut membantu memperkukuh aspek kerohanian pelajar, sekali gus menyumbang kepada pembentukan persekitaran pendidikan yang lebih seimbang.

Asyraf Wajdi berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga memberi manfaat kepada warga pendidik apabila beban tugas guru dalam pengurusan asrama dapat dikurangkan, membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Hasil kajian turut menunjukkan penurunan ketara dalam pelbagai isu disiplin pelajar, malah kes buli sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis ini hampir sifar,” katanya.

Asyraf Wajdi menambah, MARA akan memperluaskan pelaksanaan model berkenaan ke semua MRSM sebagai langkah memperkukuh ekosistem pendidikan berasrama yang lebih selamat dan kondusif.

Pada masa sama, beliau meminta UPM membantu menyediakan modul latihan khusus kepada warden baharu bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kajian lanjut dilaksanakan bagi menangani isu buli mental secara lebih menyeluruh dan holistik.

“Aspek buli mental juga perlu diberikan perhatian serius kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesejahteraan emosi dan pembangunan pelajar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian komprehensif yang disifatkan memberi nilai tambah kepada usaha MARA dalam memperkasakan sistem pengurusan pelajar di MRSM.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This